ALOR SETAR - Hampir keseluruhan kerusi Parlimen di negeri Kedah dijangka bakal didominasi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berbanding parti-parti lain di dalam Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 ini.
Seperti di negeri Johor dan Perak, PPBM dijangka akan bertanding kira-kira 10 kerusi parlimen di negeri ini, manakala Parti Amanah Negara (PAN) mungkin diberi kuota hanya sebanyak 1 kerusi sahaja.
Kerusi tunggal yang dijangka bakal ditandingi PAN di Kedah hanya melibatkan Parlimen Kuala Kedah yang merupakan kubu kuat parti itu dan berkemungkinan akan mencalonkan Timbalan Pengerusi PAN Negeri, Dato' Phahrolrazi Zawawi.
Dato' Phahrolrazi Zawawi |
Sama seperti PAN, PKR pula mungkin hanya akan diberi mandat untuk bertanding di kerusi Parlimen Sungai Petani sahaja kali ini dan terpaksa memberi laluan kepada parti lain untuk mengambil alih kerusi yang ditandingi pada PRU yang lalu.
DAP yang dikatakan menguasai dasar gabungan pembangkang itu pula berkemungkinan akan bertanding di tiga buah kerusi melibatkan Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Alor Setar dan Padang Serai.
Manakala selebihnya 10 kerusi Parlimen yang lain iaitu Langkawi, Jerlun, Kubang Pasu, Padang Terap, Pokok Sena, Pendang, Jerai, Sik, Merbok dan Baling dijangka akan menjadi milik PPBM untuk ditandingi.
Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang diumum sebagai calon Perdana Menteri "sementara" Pakatan Harapan dijangka akan bertanding di kerusi paling "selamat" baginya iaitu Parlimen Langkawi, bagi memastikan kemenangan dipihaknya.
Sementara itu, anak beliau yang juga merupakan bekas Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir pula berkemungkinan akan bertanding di bekas kerusi yang sebelum ini disandang bapanya, Parlimen Kubang Pasu.
Mukhriz yang juga merupakan Pengerusi Pakatan Harapan Kedah sebelum ini disarankan supaya bertindak anak jantan dan mencabar menteri kanan UMNO, Dato' Seri Mahdzir Khalid, di Parlimen Padang Terap bagi memastikan matlamat mengurangkan kemenangan di pihak Barisan Nasional (BN) pada PRU ini.
Namun begitu, beberapa pihak pula mendakwa Mukhriz tidak akan berani berbuat seperti yang disarankan, sebaliknya hanya akan memilih untuk bertanding di kerusi mudah menang pada PRU ke-14 nanti.
Bekas pemimpin PAS, Dato' Mahfuz Omar yang meninggalkan partinya baru-baru ini pula dijangka akan kekal bertanding di kerusi Parlimen Pokok Sena di atas tiket PPBM.
Sementara itu, Adun Anak Bukit, Dato' Amiruddin Hamzah pula turut dijangka akan bertanding di Parlimen Jerlun, kerusi yang sebelum ini dimenangi Mukhriz pada tahun 2008 ketika bertanding mewakili BN.
Enam lagi kerusi Parlimen lain pula dijangka bakal ditandingi oleh beberapa muka baru di dalam PPBM yang difahamkan pemimpin parti itu yang dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan Mukhriz. - Kedahnews.com