PLUS Belanja RM1 Bilion Selenggara Lebuh Raya


KUALA LUMPUR - PLUS Expressways Bhd membelanjakan RM1 bilion pada 2016 untuk menyelenggara 5,000 kilometer lebuh raya, di negara ini.

Ia tanggungjawab yang besar apabila mengambil kira syarikat konsesi lebuh raya terbesar negara itu, turut menyelenggara kawasan di sepanjang lebuh raya yang meliputi 7,000 cerun dan benteng, 500 jambatan, dua terowong (Menora-Meru sepanjang 800 meter selari), 114 persimpangan bertingkat dan 24 kawasan servis istirahat 24 jam sehari.

Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia, Zakaria Ahmad Zabidi, berkata sepanjang setahun itu saja, syarikat itu menjalankan lebih 10,000 pemeriksaan dan pemantauan aset di semua lebuh rayanya.

Kira-kira 1,000 anggota terbabit dalam tugas besar bagi menyelenggara lebuh raya sepanjang 5,000 kilometer yang bersamaan jarak di antara Kuala Lumpur dengan Beijing.

Petugas terdiri daripada jurutera dan eksekutif teknikal yang menjalankan pengurusan penyelenggaraan, termasuk peralatan mekanikal dan elektrik, di sepanjang lebuh raya serta pencahayaan jalan, katanya dalam temu bual baru-baru ini.

Beliau berkata, lebuh raya PLUS yang beroperasi lebih 30 tahun dianggap aset matang, memerlukan pelaksanaan banyak inisiatif penyelenggaraan bagi memastikan ia berada dalam keadaan baik.

"Kami juga melabur sejumlah besar wang untuk memelihara turapan permukaan jalan," katanya.

Selain kereta penumpang dan kenderaan ringan, kenderaan berat saja menyumbang kira-kira 25 peratus daripada jumlah lalu lintas dan penyumbang utama kepada kemerosotan muka jalan.

Jumlah pelaburan dan bajet diperuntukkan khusus bagi memelihara aset jalan raya akibat lori lebih muatan yang menggunakan lebuh raya utara-selatan.

Bagi mengekalkan lebuh raya, beliau berkata, PLUS mengamalkan strategi penyelenggaraan tiga cabang yang termasuk penyelenggaraan rutin, rawatan dan pencegahan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penyelenggaraan rutin merujuk kepada kerja berulang atau berkala seperti memotong rumput dan pembersihan longkang.

Strategi kedua meliputi penyelenggaraan pembaikan, termasuk pembaikan struktur permukaan jalan berturap, cerun dan jambatan bagi mengekalkan kesesuaian perkhidmatan aset serta pengukuhan struktur.

Sementara itu, penyelenggaraan pencegahan bertujuan untuk meminimumkan kecacatan dan kemerosotan dan penyelenggaraan yang dirancang untuk memastikan lebuh raya dipulihara, dirancang dan kekal lebih lama daripada jangka hayatnya.

Bagi memastikan perjalanan selamat, lancar dan selesa bagi pengguna, PLUS membuat pelaburan besar dalam membangunkan sistem pengawasan lalu lintas yang canggih yang dikenali sebagai Pusat Pemantauan Lalu Lintas.

Fungsi utama pusat itu ialah mengumpul dan menyebarkan maklumat trafik masa nyata, untuk pengurusan trafik yang cekap, serta menyelaraskan bantuan untuk pengguna lebuh raya yang memerlukannya.

Pusat itu menerima kira-kira 200,000 panggilan setiap tahun. - BERNAMA