PM Najib Percaya Rakyat Dapat Lihat, Rasai Keikhlasan Kerajaan


KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak percaya rakyat dapat melihat dan merasai sendiri segala usaha dan keikhlasan kerajaan Barisan Nasional (BN) antaranya melalui pemansuhan empat tol pada Isnin.

Beliau berkata segala janji dan tindakan yang dilakukan BN bukan untuk meraih undi sebaliknya ia adalah untuk kepentingan rakyat.

"Beberapa tol telah dimansuhkan sejak 2009, termasuklah empat hari ini, dan harga tol juga terus dihadkan walaupun perjanjian konsesi menuntut ia dinaikkan hasil legasi seorang dua bekas pemimpin terdahulu," katanya menerusi catatan di blog rasmi beliau, www.najibrazak.com.

Najib berkata kutipan tol di Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau di Selangor, Lebuhraya Penyuraian Trafik Johor Timur (EDL) di Johor dan Bukit Kayu Hitam di Kedah dimansuhkan bermula Isnin.

Katanya kerajaan akan terus mendengar denyut nadi rakyat dan membantu dengan pelbagai kemudahan Infrarakyat (infrastruktur rakyat) seperti Lebuhraya Pan Borneo yang bebas tol, projek-projek kereta api dan segala insentif serta pemberian kebajikan.

Najib berkata usaha itu akan diteruskan oleh kerajaan BN kerana inginkan semua rakyat negara ini menikmati pembangunan negara.

"Saya masih ingat lagi semasa mengumumkan perkara ini (pemansuhan tol) dalam pembentangan Bajet 2018. Gamat suasana dewan, lebih-lebih lagi para pembangkang yang sibuk mula memikirkan bagaimana mereka ingin memutar belit pengumuman ini untuk kepentingan politik mereka.

"Ada yang kata pemansuhan ini adalah hasil usaha mereka, padahal hakikatnya UMNO lah yang memperjuangkannya bersama komponen parti BN dan pemimpin kerajaan," katanya.

Menurut Najib terdapat juga pihak yang mendakwa memang sudah sampai masanya perjanjian konsesi tol itu tamat atau sepatutnya dimansuhkan lebih awal lagi, sedangkan perjanjian menunjukkan bahawa ada tol itu ditamatkan 20 tahun lebih awal daripada jadual.

Beliau berkata ada pihak yang cuba memburukkan lagi keadaan dengan menyatakan pemansuhan tol itu hanya memudaratkan rakyat.

"Mungkin mereka ini tak dapat lihat kesesakan di kawasan bertol tersebut, atau mereka tak dapat mengira berapa ramai rakyat yang kini dapat berjimat apabila tidak lagi perlu membayar tol.

"Inilah pembangkang di Malaysia. Hipokritnya mereka, mereka jugalah yang menyanjung tinggi dan mendukung Bapa Segala Tol, bekas pemimpin yang membuat perjanjian berat sebelah, menguntungkan sesetengah kroni tetapi merugikan dan menindas rakyat," katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga terpaksa menanggung beban subsidi tol yang memanfaatkan kawasan dan kumpulan masyarakat tertentu sahaja sedangkan peruntukan tersebut boleh digunakan dengan lebih baik untuk hal ehwal kebajikan rakyat seluruh negara.

Katanya umum mengetahui bahawa pembangkang jugalah yang menjadi pemegang saham dalam beberapa konsesi tol.

"Malah, ada juga nak bina lebuh raya bertol di negeri yang mereka pimpin. Ada pula yang berjanji hapuskan tol sejak 2008 bila memimpin negeri, tapi sampai sekarang tol itu masih berada di situ. Kata-kata putar belit dan janji-janji manis yang ditabur kepada rakyat tak mungkin mampu mereka tunaikan.

"Kesemua ini hanya omong kosong, bukan sahaja tol, bahkan apa janji populis mereka kepada rakyat pun tidak mungkin dapat mereka laksanakan kerana hakikatnya mereka tidak mempunyai perancangan dan pelan kukuh untuk melaksanakannya," katanya.- BERNAMA