Polis Ini Sanggup Korban Diri Demi Cekup Penjenayah Berbahaya


SEORANG anggota polis berpangkat Lans Koperal sanggup membahayakan dirinya demi untuk mencekup dua orang penjenayah walaupun dirinya sudah cedera.

Kejadian bermula apabila penjenayah tersebut secara tiba-tiba melarikan diri setelah didapati dalam keadaan mencurigakan dekat Simpang Empat, Jalan Rawang-Kuang, Selangor pada Rabu lalu.

Lans Koperal tersebut telah mengalami kecederaan di bahagian muka, mulut, kaki dan tangannya, menurut Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superitendan S Somu.


Beliau menjelaskan bahawa satu panggilan daripada Unit Ronda Bermotosikal (URB) memaklumkan mereka terpaksa melepaskan sebanyak empat das tembakan kepada kereta Honda Civic tersebut setelah dihimpit.

“Menurut keterangan anggota polis itu, mereka menemui dua lelaki dalam keadaan curiga. Apabila mereka mendekati suspek, kedua-dua lelaki itu melarikan diri dengan memecut kereta terbabit.

“Anggota terbabit mengejar suspek dan mengarahkan mereka menghentikan kenderaan, namun mereka bertindak agresif dengan melanggar motosikal seorang daripada anggota polis berkenaan.

“Ini menyebabkan dia terjatuh namun anggota berkenaan berjaya melepaskan satu das tembakan ke arah kereta suspek,” katanya dipetik daripada Harian Metro.


Dalam masa yang sama, seorang lagi anggota URB telah mengejar suspek sehingga ke Kampung Kuala Kubu Gajah sebelum memberhentikan kereta serta melarikan diri ke salah sebuah rumah di Jalan Paya Jaras Hilir yang terletak sekitar 500 meter dari kampung tersebut.

Disebabkan tindakan suspek yang mengundurkan kenderaan serta melanggar motosikal anggota polis itu, mereka terpaksa melepaskan sebanyak tiga das tembakan ke arah kereta berkenaan.

“Pemandu kereta terbabit berjaya melarikan diri, manakala seorang lagi suspek berusia 49 tahun berjaya ditahan dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujarnya lagi.


Hasil siasatan mendapati suspek yang berjaya ditahan mempunyai lima rekod jenayah lampau.

Selain itu, pihak polis forensik juga turut menjalankan siasatan di lokasi kejadian iaitu di tempat kereta berkenaan ditinggalkan dekat Kampung Kubu Gajah.

“Kami masih memburu seorang lagi suspek yang melarikan diri dalam kejadian itu bagi tindakan lanjut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan Kanun Keseksaan,” tambahnya lagi.

Pihak polis turut meminta agar orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu untuk tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh untuk membantu siasatan lanjut. - Kedahnews.com