Johor Bahru - Polis menolak dakwaan berlaku kes culik membabitkan murid Sekolah Agama Dato Omar Yusof, Kampung Pasir, di sini, seperti ditularkan menerusi laman sosial terutama Facebook.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, perkara itu tidak benar sama sekali dan sehingga kini, pihaknya masih belum menerima laporan polis berkaitan kes berkenaan.
“Semua itu dakwaan palsu, bukan saja kami tidak menerima laporan polis mengenainya malah siasatan mendapati kejadian itu tidak benar sama sekali.
“Walaupun tiada laporan, kami tetap jalankan pemeriksaan kerana membabitkan keresahan dan ketenteraman orang ramai, malangnya kejadian itu palsu dan tidak benar.
“Pengguna laman sosial sepatutnya lebih matang dan tidak berkongsi status yang boleh menimbulkan ketakutan yang tidak sepatutnya kepada orang ramai tanpa sebarang pengesahan pihak berkuasa,” katanya.
Menurutnya, sebagai pengguna bertanggungjawab dan matang, mereka perlu sedar kesan atas tindakan penyebaran berita palsu.
Katanya, sekiranya menerima maklumat diragui, orang ramai perlu mendapatkan pengesahan pihak berkaitan sebelum berkongsi mana-mana status.
Sumber: Metro