Polis Pulau Pinang Rampas Mercun Tahun Baharu Cina


NIBONG TEBAL - Polis Pulau Pinang berjaya merampas 400 kotak mercun bernilai RM100,000 dipercayai untuk pasaran Tahun Baharu Cina dalam serbuan di sebuah gudang dekat Jalan Tasek, Simpang Ampat, Jumaat lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Datuk Zainol Samah berkata, serbuan dijalankan susulan penahanan seorang pemandu lori yang membawa muatan berisi mercun.

Zainol berkata, penahanan pemandu berusia 29 tahun itu membawa kepada penemuan sebuah gudang yang disewa untuk menyimpan mercun berkenaan.

Hasil pemeriksaan menemui 400 kotak berisi  pelbagai jenis mercun antaranya  jenis Thunderlight, Happy Dragon Egg, Super Boom dan Happy Boom dipercayai untuk pasaran Tahun Baharu Cina akan datang.

Zainol berkata, pihaknya percaya semua bekalan mercun berkenaan dibawa masuk melalui sempadan Bukit Kayu Hitam,Kedah dengan menggunakan lori dan dipindahkan ke gudang sebelum dihantar ke tempat lain.

Bekalan mercun itu juga dipercayai untuk dipasarkan di sekitar Seberang Perai Selatan dan Taiping,Perak.

Zainol berkata, polis kini sedang mengesan seorang lagi suspek lelaki yang masih bebas bagi membantu siasatan.

Pemandu lori yang mempunyai dua rekod jenayah lampau itu kini ditahan reman sehingga 9 Januari ini bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Sumber: Astro Awani