PPBM Dihantui Kebimbangan Tak Dapat Sokongan Padu Rakan Sekutu


Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Amanah Negara (PAN), Parti Keadilan Rakyat (PKR) PKR serta DAP masing-masing dihantui kebimbangan tidak akan mendapat sokongan sepenuhnya daripada jentera pilihanraya rakan sekutu pada pililhan raya umum ini.

Ini kerana pada PRU14 yang bakal menyaksikan saingan tiga penjuru, parti -parti pembangkang itu akan memberi tumpuan bagi memenangkan calon daripada parti masing-masing walaupun bergabung dalam satu pakatan.

PAN yang mendapat kerusi paling sedikit sudah tentu berkecil hati dan akan menumpukan di kawasan yang ditandingi oleh parti itu sahaja sahaja.

Sementara anggota PKR yang tidak bersetuju dengan pencalonan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri juga dijangka mengambil sikap yang sama,  tidak membantu di kawasan yang ditandingi oleh PPBM.

DAP mahu mempastikan kawasan yang ditandingi kekal dengan kemenangan kerana parti itu hanya meletakkan calon yang minimum dan boleh menang. 

Dengan sokongan dan tenaga jentera yang terhad, PPBM  amat mengharapkan bantuan dan simpati PKR dan PAN serta DAP pada penampilan pertama parti itu pada PRU14.

Maka tidak hairanlah apabila Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini meyakinkan bahawa rakan sekutunya bahawaPPBM bersedia menerima sesiapa sahaja calon pembangkang yang akan mewakili gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) kelak.

Kata Muhyiddin, PPBM perlu menyokong calon daripada gabungan tersebut bagi membolehkan calonnya disokong komponen parti Pakatan Harapan (PH) dan juga di peringkat akar umbi.

“Prinsip PPBM, siapa bertanding atas Pakatan Harapan sama ada DAP, PAN mahupun PKR, kita sokong 100 peratus.

“Kita sudah janji kita tidak akan boikot, itu satu rancangan bodoh dan membunuh diri, kalau kita boikot (calon) mereka, mereka dan juga parti-parti mereka akan boikot parti kita dan calon kita akan kalah,” katanya baru-baru ini.

PPBM memperoleh 52 kerusi parlimen untuk dipertandingkan dan rata-ratanya adalah kerusi yang akan dipertandingkan oleh UMNO.

Namun minggu lalu, PPBM menerima tamparan hebat apabila pencalonan Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku calon Perdana Menteri dibantah ahlinya sendiri selain daripada PKR.

Ketua Pemuda PPBM Pahang, Raja Mohd Azlan Raja Omar secara peribadi berkata, pencalonan Mahathir selaku calon PM PH tidak sesuai, sebaliknya gabungan itu memerlukan calon yang lebih muda dan berkaliber.

Malah PPBM negeri itu turut menolak pencalon Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selaku calon Timbalan Perdana Menteri PH sekiranya berjaya menakluki Putrajaya pada PRU-14 kelak

Bagi kawasan majoriti pengundi Melayu, ramai yang masih  'fobia' dengan DAP dan ini menjejaskan peluang PKR, PAN dan PPBM untuk menang banyak kerusi apatah setelah tiada kerjasama dengan PAS. 

Dalam hal ini peluang BN untuk merampas semula kerusi yang kalah pada PRU13 tidak boleh dinafikan. - Kedahnews.com