PPBM Tidak Puas Hati PKR, DAP "Sapu" Kerusi DUN Negeri Sembilan?


Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima peruntukan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan terbanyak dengan 12 kerusi untuk ditandingi pada pilihan raya umum ke-14.

Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan (PH) Datuk Saifuddin Abdullah berkata PKR diperuntukkan kerusi DUN Jeram Padang, Sikamat, Ampangan, Juasseh, Pilah, Labu, Rantau, Chuah, Linggi, Port Dickson, Gemas dan Sungai Lui.

Beliau berkata DAP akan bertanding di 11 kerusi iaitu Chennah, Bahau, Nilai, Lobak, Temiang, Bukit Kepayang, Rahang, Mambau, Senawang, Lukut dan Repah manakala Parti Amanah Negara (Amanah) diperuntukkan tujuh kerusi iaitu Serting, Johol, Lenggeng, Klawang, Paroi, Senaling dan Kota.

Menurut laporan Bernama, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pula diperuntukkan enam kerusi iaitu Palong, Seri Menanti, Chembong, Pertang, Gemencheh dan Bagan Pinang.

Beliau berkata demikian pada Konvensyen PH Negeri Sembilan ke-2, di Seremban hari ini yang turut dihadiri Presiden PH yang juga Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Pengerusi PH Negeri Sembilan yang juga pengerusi PKR negeri Aminuddin Harun.

Bagi peringkat parlimen, Saifuddin mengulangi ketetapan yang diumumkan pada Konvensyen PH di Shah Alam, Selangor, 6 Jan lepas iaitu setiap parti diperuntukkan dua kawasan.

"PPBM di Kuala Pilah dan Jempol; PAN  di Tampin dan Jelebu; DAP di Seremban dan Rasah manakala PKR di Rembau dan Telok Kemang," katanya.

Setentara itu, sekumpulan 40 orang penyokong PPBM menimbulkan kekecohan kerana tidak puas hati agihan kerusi DUN itu - Kedahnews.com