PPBM Yang Kucar-Kacirkan Pakatan Pembangkang - PAS


Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad semakin mengarut apabila melabelkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kafir dan pengkhianat pakatan pembangkang.

Beliau mendakwa, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu sebenarnya yang merosakkan pakatan pembangkang kerana kehadirannya dalam pakatan terbabit hanya mengkucar-kacirkan keadaan, bukannya membantu.

"Sejak Dr Mahathir dan PPBM wujud, saya perasan banyak masalah berlaku termasuk dalam pakatan pembangkang," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kota Bharu semalam

Sambil menyifatkan Dr Mahathir juga sudah mengambil peranan mufti, Mohd Amar mendakwa, Pengerusi PPBM itu yang sebenarnya anti PAS dan Islam, malah sentiasa menyerang PAS.

"Jika betul mereka (pembangkang) mahu kalahkan BN (Barisan Nasional), jangan jadikan pilihan raya umum (PRU) akan datang pertandingan banyak penjuru dan jangan bertanding di kerusi PAS," katanya.

Akhbar hari ini melaporkan, Dr Mahathir melabelkan Abdul Hadi sebagai kafir dan pengkhianat kerana bekerjasama dengan UMNO, malah mendakwa Presiden PAS itu hanya menggunakan Islam kerana pernah mendakwa kerajaan sebagai kafir dan wajar ditentang.

Sumber:  BH