Projek Pembangunan Kelantan Bukti BN Adil Tanpa Mengira Fahaman Politik.


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pelaksanaan pelbagai projek pembangunan di Kelantan adalah bukti kerajaan Barisan Nasional (BN) adil kepada semua rakyat tanpa mengira fahaman politik.

Beliau berkata selain tidak mahu rakyat negeri ini ketinggalan, kerajaan yang dipimpinnya komited untuk memajukan Kelantan supaya setanding dengan negeri lain di negara ini.

"Slogan ikutan kerajaan pimpinan saya yakni rakyat mesti didahulukan dan pencapaian diutamakan, saya juga menyatakan pembangunan kita mesti bersifat inklusif, mesti menyentuh setiap pelusuk ceruk rantau negara kita dari sempadan Siam (Thailand) sampai ke sempadan Filipina kita mesti membawa pembangunan untuk semua rakyat Malaysia," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian semasa merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan bernilai RM572 juta di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

"Kita tidak mahu ada sesiapa yang ketinggalan, ini berdasarkan kepada prinsip dalam agama Islam kita bahawa bila kita memerintah, Tuhan perintah kita supaya kita menjadi pemimpin yang adil kepada semua, maknanya jangan berlaku ketidakadilan, kita mesti berlaku adil.

Sebab itulah saya berbeza dengan pendirian pendahulu saya yang menjadi pemimpin selama 22 tahun yang telah meminggirkan negeri Kelantan ini atas perbezaan politik, tapi saya berpegang walaupun berbeza politik kita mesti berlaku adil kepada semua," kata Najib dengan diiringi tepukan gemuruh daripada ribuan para hadirin.

Perdana Menteri berkata projek PLSB Sungai Kelantan, adalah antara beberapa projek besar yang sedang dan akan dilaksanakan di negeri ini untuk manfaat rakyat.

Beliau berkata projek tersebut yang akan bermula esok dan dijangka siap pada Mei 2021, akan dapat mengatasi masalah banjir yang dihadapi rakyat negeri ini setiap tahun, sekali gus melenyapkan mimpi ngeri banjir besar yang berlaku pada 2014.

"Melihatkan banjir yang berlaku pada 2014 itu bukan air banjir biasa tetapi juga lumpur yang menyebabkan rakyat menderita, saya tidak rela melihat rakyat Kelantan menderita seperti itu," katanya.

-Bernama