Ramai Pemimpin Mengadu Pada RoS Pertikai Kesahihan Mesyuarat Agung PPBM


Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) terus dipertikaikan kesahihannya oleh pemimpin bahagiannya kerana mendakwa  ia tidak mengikut perlembagaan parti itu 

Apakah mesyuarat itu akan dibatalkan jika ada asas kukuh ia tidak patuhi perlembagaan PPBM.

Ada juga yang menganggap AGM parti pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad itu hanya 'syok sendiri' kerana hanya memberikan tumpuan kepada perjuangan untuk memilih calon Perdana Menteri dan menjatuhkan  Datuk Seri Najib Razak sahaja. 

Nasib PPBM mungkin sama seperti mesyuarat Pemilihan Jawatan Kerja Tertinggi (CEC) DAP yang diarah oleh RoS  kerana pemilihan semula selapas keputusan CEC yang dahulu tidak diiktiraf oleh RoS. 

Kini ada  lagi pemimpin bahagian PPBM tampil membuat laporan kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan itu  berhubung kegagalan kepimpinan tertingginya mematuhi perlembagaan parti berkenaan.

Pemangku Ketua Pemuda PPBM Temerloh, Pahang, Sharipul Fairuz Mohd Sharip berkata, pihaknya yakin lebih ramai lagi pemimpin bahagian dari seluruh negara akan tampil membuat laporan sama dalam masa terdekat.

“Hari ini (Jumaat) saya tampil membuat laporan kepada ROS untuk menyatakan bantahan mengenai mesyuarat agung tahunan (AGM) baru-baru ini melanggar artikel 12.2 dan tidak mengikut perlembagaan parti.

“Semua peringkat cawangan dan bahagian PPBM gagal mengadakan mesyuarat terlebih dahulu sebelum AGM dilaksanakan pada peringkat pusat baru-baru ini,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan kepada RoS semalam.

Bagaimanapun Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri MukhrizMahathir menjelaskan mesyuarat bahagian belum genap setahun untuk mengadakan mesyuarat sementara cawangan pula dalam proses pendaftaran.
  
Pada 30 Disember lalu, PPBM mengadakan AGM sulungnya di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, Selangor, seperti yang ditetapkan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM mengikut Fasal 12.1 Perlembagaan parti berkenaan.

Dr. Mahathir selaku Pengerusi PPBM selepas itu menempelak Ketua Bahagian PPBM Temerloh, Amerus Che Onn kerana mendahului RoS apabila mendakwa mesyuarat agung tahunan parti itu tidak sah. 

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan mencabar Amerus untuk menggesa RoS mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai perkara itu. 

RoS sebelum ini memberi amaran kepada parti itu kerana melakukan tiga kesalahan iaitu tidak mengadakan mesyuarat agung tahunan, menubuhkan sayap Pemuda dikenali sebagai Armada dan menangguhkan mesyuarat agung tanpa peruntukan dalam perlembagaan parti sehingga boleh menyebabkan parti itu dibatalkan. 

Masalah  PPBM itu turut mengheret PH sehingga menyebabkan pendaftarannya sebagai gabungan parti politik yang sah masih belum diluluskan sehingga kini. - Kedahnews.com