MARAN - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapati ramai pengasuh kanak-kanak yang beroperasi di rumah, tidak berdaftar mengikut Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) 1984.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata setakat ini, hanya 736 individu yang berdaftar dengan JKM walaupun pihaknya mengakui jumlah mereka yang tidak mendaftar masih ramai di seluruh negara.
Beliau berkata, sikap dan mentaliti pengasuh kanak-kanak di rumah yang tidak mengambil berat dan kurang bertanggungjawab mengenai kepentingan mendaftar dengan JKM dan Akta Taska 1984 boleh mendatangkan masalah kepada mereka dan ibu bapa pada masa akan datang.
Sehubungan itu, beliau meminta ibu bapa supaya lebih berhati-hati dan boleh merujuk kepada JKM senarai individu yang menawarkan khidmat mengasuh kanak-kanak di rumah.
"Proses mendaftar dengan JKM bukan susah dan mereka dikehendaki mengikuti kursus mengenai prosedur operasi standard (SOP) taska yang akan melindungi mereka daripada sebarang kejadian tidak diingini selain diberikan kursus mengenai kaedah penjagaan sebenar.
"Kalau mengikut SOP pengasuh berhak untuk menolak untuk menjaga bayi atau kanak-kanak yang dihantar oleh ibu bapa jika kurang sihat, dan ini akan melindungi mereka (pengasuh) masalah yang tidak dijangka.
"JKM sendiri pernah menjalankan program pemutihan pada 2014 dan ia berterusan, namun bilangannya (tidak berdaftar) semakin bertambah sedang banyak insentif yang mereka peroleh jika tampil berbuat demikian," katanya selepas merasmikan Majlis Konvokesyen dan Juara Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Maran, dekat sini, hari ini.
Seramai 400 peserta Latihan Kemahiran dan Keusahawanan dan 15 peserta Latihan Akademik menerima sijil masing-masing.
Yang turut hadir, Ahli Parlimen Maran yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Seri Shahaniza Shamsudin dan Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Modal Insan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Zulkifli Yaacob dan Pengurus Besar ECERDC Pahang, Datuk Mohd Mazlan Shahrudin.
Rohani diminta mengulas kejadian menimpa bayi berusia 13 bulan, Ahnaf Hanafi Mohd Haniff ditemui tidak sedarkan diri dalam buaian di rumah pengasuhnya di Indera Mahkota 15, dekat sini sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 2.30 petang, Rabu lalu.
Ahnaf Hanafi dihantar ibu bapanya, Rushidah Abdullah, 30, dan Mohd Haniff Selaman @ Sulaiman, 28 ke rumah pengasuh pada jam 8.10 pagi sebelum pengasuh dikenali sebagai Alya menghubungi pada jam 2.30 petang memberitahu bayi itu berada di klinik kesihatan serta tidak sedarkan diri.
Siasatan JKM mendapati pengasuh berkenaan tidak berdaftar dengan JKM seperti diwajibkan dan dia menjaga empat kanak-kanak termasuk Ahnaf Hanafi.
Rohani juga berkata, pengasuh yang menjalankan taska tanpa berdaftar dengan JKM boleh didakwa mengikut Seksyen 6(2) Akta Taska 1984 yang memperuntukkan denda RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Sumber: BH Online