Ranking Jatuh Lagi: “Saya Bertanggungjawab Penuh”


KUALA LUMPUR – “Saya bertanggungjawab sepenuhnya diatas kejatuhan kedudukan pasukan kebangsaan,” titah Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Baginda bertitah demikian berikutan kedudukan terkini pasukan kebangsaan turun sekali lagi daripada kedudukan 174 ke 175.

Titah Tunku Ismail, baginda turut bertanggungjawab sepenuhnya setiap kali pasukan kebangsaan kalah.

“Kedudukan terkini pasukan kebangsaan turun sekali lagi daripada kedudukan 174 ke 175. Saya bertanggungjawab sepenuhnya,” titah baginda dalam satu status di laman Facebook FAM semalam.

Harimau Malaya yang kekal dengan 99 mata ketika berada di kedudukan 174 pada bulan lalu dipintas Kuwait yang mengumpul 100 mata.

Bagi ranking Asia, skuad itu yang kini di bawah kendalian Tan Cheng Hoe berada di kedudukan ke-36 dan kelapan Asia Tenggara di bawah Kemboja dan Singapura.

Kedudukan semasa Harimau Malaya dalam ranking FIFA mengecewakan seluruh peminat selepas berbangga dengan pencapaian skuad bawah 23 (B-23) tahun.

Skuad itu mencipta sejarah mara ke suku akhir Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) kelmarin. – Kedahnews.com