Ranking Terburuk Harimau Malaya


KUALA LUMPUR - Skuad negara terus mencatat rekod terburuk dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa FIFA) apabila menghuni kedudukan ke-175 dalam senarai terbaru yang dikeluarkan badan induk itu, hari ini.

Kedudukan itu menyaksikan Harimau Malaya jatuh satu anak tangga berbanding di kedudukan 174 sejak November lalu.

Harimau Malaya yang kekal dengan 99 mata ketika berada di kedudukan 174 dipintas Kuwait yang mengumpul 100 mata.

Bagi ranking negara Asia, skuad itu yang kini di bawah kendalian Tan Cheng Hoe berada di kedudukan ke-36 dan kelapan di Asia Tenggara di bawah Kemboja dan Singapura.

Cheng Hoe yang dilantik sebagai pengganti Nelo Vingada bagaimanapun belum mengharungi sebarang perlawanan dan ujian pertama bakal ditempuhi untuk aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2019 berdepan Lubnan, Mac ini.

Ketika ini, hanya Laos, Brunei dan Timor Leste sahaja yang berada di bawah Harimau Malaya jika mengikut kedudukan negara di rantau Asia Tenggara.

Kedudukan semasa Harimau Malaya dalam ranking FIFA itu mungkin sedikit mengecewakan seluruh peminat selepas berbangga dengan pencapaian skuad bawah 23 (B-23) tahun yang mencipta sejarah mara ke suku akhir Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), kelmarin.

Sementara itu, Jerman kekal di kedudukan nombor satu dunia dengan mengumpul 1,602 mata diikuti Brazil (1,483) dan Portugal (1,358).

Sumber: BH Online