Ritual Agama Lain Boleh Jejaskan Akidah


Peminat muzik K-Pop seluruh dunia digemparkan dengan pemergian salah seorang ahli kumpulan SHINee, Kim Jong Hyun, 27, akibat membunuh diri selepas menghidu asap karbon monoksida yang dibakar di dalam biliknya.

Ternyata pemergian bintang pujaan ramai itu tidak dapat diterima para peminat khususnya di negara ini sehingga sanggup mengadakan upacara perkabungan semata-mata untuk memberi penghormatan terakhir kepadanya.

Kira-kira 100 peminat pelbagai kaum berkumpul di tepi Sungai Klang berdekatan Masjid Jamek, Kuala Lumpur baru-baru ini untuk memperingati pemergian penyanyi kesayangan mereka itu.

Peminat yang kebanyakan dari kawasan Lembah Klang itu dilihat membawa sepanduk, potret, bunga, lilin dan belon sebagai simbolik upacara perkabungan.

Bagaimanapun, foto peminat berhijab yang menghadiri upacara tersebut telah tersebar di media sosial sehingga menerima kecaman netizen.

Rata-ratanya menyatakan rasa terkejut dengan tindakan yang dianggap melanggar batas sebagai seorang Muslim.

Budaya

Salah seorang pengguna media sosial, Syed Mohamad Azam Syed Mansor, 25, berkata, perasaan cinta, minat dan suka adalah fitrah yang tidak dapat dihalang tetapi perlu diletakkan pada tempat yang betul.

“Tidak perlu membazirkan air mata meratapi pemergian seseorang yang jauh bertentangan dengan ajaran Islam.

“Kalau tidak mahu dikecam jangan sesekali melakukan sesuatu di luar batasan. Minat itu tidak salah tetapi apabila sudah terlalu fanatik dan taksub ia akan memakan diri sendiri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Muhd. Shukri Muhammad berkata, umat Islam khususnya generasi muda diingatkan agar tidak mudah terikut-ikut dengan budaya luar dengan melakukan amalan bersifat ritual atau upacara agama bukan Islam.

Muhd. Shukri berkata, hukum berkabung dalam Islam adalah harus tetapi tidak boleh melampaui batas.

“Islam meletakkan garis panduan yang terperinci terutama dalam isu perkabungan. Segala ratapan, tangisan atau perbuatan yang berlebihan adalah diharamkan.

“Perasaan suka itu adalah fitrah namun usah biarkan diri terlalu fanatik sehingga melanggar prinsip sebagai seorang Muslim,” katanya.


Dalam pada itu, Muhd. Shukri senada dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang memutuskan larangan penglibatan orang Islam dalam aktiviti Candle Light Vigil.

“Islam melarang umatnya daripada terlibat dengan segala amalan yang bersifat ritual atau menyerupai agama bukan Islam kerana ia boleh menjejaskan akidah,” ujarnya.

Menyentuh ucapan takziah pada majlis itu, Muhd. Shukri berpandangan Islam mengajar umatnya untuk saling hormat-menghormati antara satu sama lain namun dalam konteks majlis tersebut tiada keperluan bertindak demikian.

“Tiada keperluan mengucapkannya kerana tidak ada ahli keluarga artis terbabit untuk menerima ucapan berkenaan. Ucapan kepada si mati itu sendiri adalah hal yang tidak bermanfaat dan bukan budaya Islam,” katanya lagi.

Taksub

Pengarah Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Fauziah Mohd. Saad berkata, kumpulan terbabit mengalami Sindrom Memuja Selebriti (CWS) dan dianggap sebagai sebahagian daripada penyakit psikologi yang sekiranya berlebihan perlu dirawat.

“Ia adalah satu keadaan yang menjadikan seseorang individu itu berasa sangat mengagumi artis pujaannya. Bahkan, ada kes-kes yang menunjukkan peminat yang bertindak melakukan sesuatu di luar jangkaan apabila mengalami kemurungan sehingga mengambil langkah membunuh diri.

“Justeru, kehidupan artis bukan lagi menjadi rahsia untuk peminat mereka. Setiap saat pergerakan mereka akan terus diintai oleh peminat yang fanatik dan mereka dianggap sebagai manusia luar biasa yang terus diberikan perhatian,” ujarnya.

Bagaimanapun menurut Fauziah, populariti seseorang artis akan mula merosot apabila mereka berkahwin atau menjalinkan hubungan dengan seseorang kerana artis tadi tidak lagi dilihat sebagai seseorang yang mempunyai potensi untuk dipunyai.

Dalam pada itu, Fauziah menyarankan supaya mereka yang mengalami sindrom CWS yang berlebihan supaya mendapatkan rawatan kaunseling dengan segera bagi mengelakkan keadaan bertambah serius dan menjejaskan kehidupan seharian.

Sumber – Kosmo