RM4 juta Diperuntukkan Kedah Naik Taraf Maktab Mahmud


ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah akan memperuntukkan sebanyak RM4 juta bagi menaik­taraf pusat pengajian Maktab Mahmud yang terdapat di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Ba­dan Bukan Kerajaan (NGO) nege­ri, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, keputusan itu diambil setelah melihat ramai ibu bapa menyatakan berminat untuk menghantar anak masing-masing belajar ke pusat pengajian berkenaan.

“Di samping itu, kerajaan ne­geri juga mahu mewujudkan Sekolah Rendah (SR) Maktab Mahmud bagi membolehkan ramai anak-anak mendapat didikan ilmu agama di peringkat awal sebelum menjejak kaki ke sekolah menengah.

“Kita ingin melihat dan mahu memastikan pelajar di pusat pe­ngajian ini berupaya menguasai bahasa Arab dengan baik dan mampu membaca 30 juzuk al-Quran de­ngan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Guru Besar dan Pengetua Peringkat Parlimen Merbok di Kelab Cinta Sayang, Alor Setar, pada Sabtu.

Tambah Tajul, kesemua peranca­ngan yang telah disusun rapi akan dilaksanakan dengan jayanya jika semua pihak sentiasa memberi kerjasama baik.

“Kerajaan juga mahu memperelokkan Pusat Pengajian Tahfiz Sains di daerah Kulim yang ada sekarang ini kemudian menambah satu lagi pembinaan pusat pengajian baru di daerah Kubang Pasu.

“Apabila semua pelajar kuasai bahasa Arab dengan baik, mereka boleh menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan di kampung dengan lebih mudah. Mereka yang menamatkan pe­ngajian di tempat ini boleh menjadi golongan profesional terbaik,” katanya. - Kedahnews.com