Rumah Sewa 2 Tingkat Terbakar Di Alor Setar


ALOR SETAR - Sebuah rumah dua tingkat yang dijadikan bilik sewa didiami empat keluarga hangus 100 peratus dalam kebakaran di Lorong Panglima, Jalan Teluk Wanjah di sini, pagi semalam.

Komander Operasi Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Penguasa Kanan Bomba II Abdul Jalil Ishak berkata, kebakaran membabitkan rumah kelas B iaitu separuh kayu dan batu didiami kira-kira 15 penghuni itu musnah sama sekali namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 11.05 pagi, seramai 25 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar dan Jalan Raja bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian pada jam 11.14 pagi, didapati api mula marak dan kebakaran dipercayai berpunca dari belakang sudah merebak. Pasukan kami turut dibantu enam pasukan bomba sukarela membabitkan jumlah seramai 27 orang,” ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.

Beliau berkata, siasatan awal pihaknya mendapati, rumah dua tingkat itu terdiri dari enam hingga tujuh bilik yang dibuat untuk dijadikan bilik sewa yang dihuni seramai 15 orang.

“Ketika kejadian, kebanyakan penghuni sudah pergi kerja dan hanya terdapat seorang dewasa berada rumah itu yang menyedari kejadian itu," katanya.

Katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

Sementara itu, mangsa, Nur Shakila Abdul Rashid, 31, berkata, dia bersama penghuni lain rumah dua tingkat itu kini tinggal sehelai sepinggang apabila tidak dapat menyelamatkan barang-barang setelah api merebak dengan pantas.

“Saya tinggal bersama ibu dan ayah manakala tiga lagi keluarga turut menyewa bilik di rumah kami. Ketika kejadian, saya baru selesai bersarapan sebelum dikejutkan dengan jeritan jiran mengenai kebakaran pada bahagian belakang rumah kami.

“Nasib baik ada jiran sedar mengenai kebakaran ini sebab kami yang berada dalam rumah tidak bau asap. Selepas saya bersama yang lain keluar rumah, baru kami nampak api semakin marak,” katanya.

Sumber: Sinar Online