Runtuhan Di Jakarta: Pelajar, Pegawai Malaysia Selamat


PUTRAJAYA - Pelajar dan pegawai Malaysia yang berada di kawasan sekitar Bursa Efek Indonesia (BEI) di Jakarta ketika tingkat mezanin bangunan berkenaan runtuh semalam dilaporkan selamat.

Menurut Wisma Putra, 22 pelajar Malaysia daripada Management Science University yang mewakili negara ke pertandingan Cabaran Saham ASEAN CIMB 2.0 dan wakil Kementerian Pendidikan Tinggi serta pegawai pendidikan Malaysia yang mengiringi mereka berada di sekitar kawasan berkenaan ketika kejadian.

"Semua pelajar dan pegawai Malaysia dipindahkan ke bangunan Graha CIMB Niaga yang terletak bersebelahan," menurut kenyataan Wisma Putra hari ini.

Wisma Putra, bagaimanapun, menyatakan kedutaan Malaysia di Jakarta terus memantau rapi keadaan di sana.

Kedutaan itu boleh dihubungi melalui email mwjakarta@kln.gov.my atau telefon di talian +62215224947 dan +6281380813036.

Tingkat mezanin Menara II Bursa Efek Indonesia di Jalan Jenderal Sudirman, Senayan, bahagian tengah Jakarta, runtuh pada waktu rehat urus niaga tengah hari semalam dan menyebabkan berpuluh pekerja serta orang awam cedera.

Menurut laporan, sekumpulan pelajar universiti dari Sumatra yang melakukan lawatan sambil belajar ke bangunan bursa saham itu, adalah antara mereka yang cedera. - BERNAMA