Sampah Sarap Cemari Persekitaran Gunung Jerai


ALOR SETAR –  Beberapa tempat tumpuan pelancong di Gunung Jerai di sini kelihatan jijik dan meloyakan apabila dipenuhi sampah sarap hingga mencacatkan pemandangan.

Sampah sarap yang bersepah, terbiar di merata tempat itu menyebabkan Kompleks Telaga Tok Sheikh dan Dataran Tok Sheikh yang se­ring menjadi tumpuan pengunjung kelihatan kotor dan tidak diurus.

Menurut seorang pengunjung daripada Bukit Pelandok, Nege­ri Sembilan, Kadis Buyadi, 55, berkata, dia teruja untuk melawat dua tempat menarik yang terletak di puncak Gunung Jerai sebaik bercuti di negeri ini.

“Namun keadaan di dua tempat itu menyakitkan mata kerana dipenuhi longgokan sampah merata tempat.

“Sayang keadaan ini boleh memberi kesan tidak baik kepada pengunjung luar seolah-olah tiada pihak mengambil tahu tempat pelancongan di sini,” katanya sedikit hampa.


Hasil tinjauan wartawan, mendapati dua tempat itu menjadi tumpuan pelancong untuk mandi manda selain beristirehat bersama keluarga khususnya ketika musim cuti sekolah.

Namun akibat tabiat serta sikap tidak bertanggungja­wab sebahagian pengunjung yang suka membuang sampah di merata-rata tempat mencemarkan imej pusat pelancongan berkenaan.

Bukan itu sahaja, bekas makanan, plastik, kertas serta lampin pakai buang kelihatan bersepah di merata-rata tempat.

Persekitaran dua tempat itu juga kelihatan kotor apabila bahan buangan ini dilarikan kera dan monyet liar menyebabkan kawasan ini berbau busuk.


Selain itu, seorang pengunjung daripada Taiping, Perak, Asiah Abbas,65, berkata, sepatutnya dua kawasan itu dijaga dari segi kebersihannya tapi sebaliknya berlaku.

“Saya sering ke sini sejak beberapa tahun lalu tapi keadaannya tetap sama apabila lebih ramai pengunjung pastinya akan banyak sampah dibuang di merata tempat,’’ katanya memetik Utusan Online.

Seorang pengunjung dari Guar Cempedak, Tuah Jani Abdul Majid, 51, berkata, dia dan beberapa orang rakannya selalu mengambil inisiatif membersih dan mengutip sampah untuk menjaga kebersihan setiap kali berkunjung ke dua tempat pelancongan itu.

“Kami meminta pihak berkuasa tempatan mengambil langkah segera menangani masalah itu termasuk meletakkan lebih banyak papan tanda dan bekas membuang sampah di kawasan berkenaan,” ujarnya. - Kedahnews.com