'Sarjan Faiz' Kena Penjara 66 Bulan


RAUB - Seorang buruh yang menyamar sebagai anggota polis dikenali 'Sarjan Faiz' dijatuhi hukuman penjara 66 bulan selepas mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan termasuk menculik remaja perempuan pada 27 Disember tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Faizal Sinorcho, 32, dari Taman Bukit Indah, Bentong, yang bekerja di sebuah syarikat penyelenggaraan jalan raya turut dijatuhkan hukuman lima kali sebatan oleh Majistret Khairuddin Anhar Mahmud.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melarikan Nur Syaminn Nabila Mohd Shapawi, 17, di alamat Nombor 141 A, Kampung Ulu Gali, Sungai Ruan, dekat sini kira-kira jam 11 pagi, 27 Disember tahun lalu dan pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Tertuduh juga didakwa berpura-pura sebagai anggota polis dikenali 'Sarjan Faiz' di lokasi serta waktu sama dengan pertuduhan pertama dan pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa memiliki senjata api tiruan tanpa permit di sebuah kedai motosikal di sini, kira-kira jam 12 tengah hari, 27 Disember tahun lalu yang pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata Api 1960 dan memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya.

Pada prosiding itu, tertuduh juga didakwa memperdayakan seorang wanita, Fatimah Sulaiman, 60, dengan menyamar sebagai Inspektor Khuzairi untuk meminta RM500 bagi melepaskan anaknya, Azuan Ariffin, 42, daripada disiasat oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub atas kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 6.30 petang, 9 Disember 2016 dan pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun, sebatan dan denda jika disabitkan kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa berpura-pura memegang jawatan Inspektor untuk memperdayakan Fatimah menyerahkan RM500 untuk melepaskan Azuan daripada disiasat atas kesalahan berkaitan dadah dan pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

Khairuddin Anhar mengarahkan hukuman penjara selama 48 bulan bagi kes culik remaja, menyamar sebagai polis dan memiliki senjata api tiruan tanpa kebenaran yang dilakukan tahun lalu dijalankan serentak bermula dari tarikh tangkapan pada 6 Januari lalu.

Hukuman penjara 18 bulan dan lima kali sebatan bagi kesalahan memperdayakan seorang wanita dan menyamar sebagai anggota polis pada 2016 pula bermula selepas tempoh penjara 48 bulan terbabit selesai.

Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Mohd Faizal Shamsir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sumber: BH Online