SBEZ Bukit Kayu Hitam Dijangka Beri Pulangan Lumayan


ALOR SETAR - Pembangunan Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) di Bukit Kayu Hitam yang dirancang kerajaan dalam Bajet 2018 dijangka mampu menyumbang antara RM30 bilion hingga RM40 bilion setahun kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata sehingga kini, kerja membangunkan  zon ekonomi itu masih berada dalam proses perancangan sebelum kerajaan pusat mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri untuk mewartakan tanah bagi pelaksanaan projek itu.

“Jadi, kerja-kerja fizikal untuk pelaksanaan projek ini akan berjalan tidak lama lagi. Kerajaan akan melaksanakan pembangunan di kawasan itu kerana ia akan melonjakkan lagi sektor ekonomi negara hasil daripada peluang-peluang yang diwujudkan daripada projek pembangunan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas taklimat dan perjumpaan bersama exco dan ketua jabatan berkaitan SBEZ di Wisma Darulaman di sini semalam yang turut dihadiri Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Mengulas lanjut, Johari berkata SBEZ berkenaan akan dibangunkan di kawasan seluas 4,451 hektar yang membabitkan pembangunan pelabuhan darat, zon perdagangan bebas dan pusat komersial.

"Pada fasa pertama kita akan bangunkan zon perdagangan bebas seluas 930 hektar dahulu,” katanya. - Bernama