Sediakan Almari, Rak Simpan Buku: KGMMB


JERANTUT - Penyediaan almari atau rak menyimpan buku kerja dan latihan di sekolah dapat menangani isu beg berat murid sekolah.

Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Datuk Mohd Sabri Mohd Arshad, berkata Kementerian Pendidikan boleh mencadangkan pihak sekolah menyediakan rak atau almari di setiap kelas untuk menyimpan buku kerja dan buku latihan supaya murid tidak bawa beg berat ke sekolah.

"Pihak sekolah juga boleh dengan membeli rak atau almari yang berkunci melalui dana Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) untuk menyimpan buku kerja dan latihan dan hanya membawa balik buku yang diperlukan untuk menyiapkan kerja rumah yang diberi.  

"Isu ini amat ketara berlaku di sekolah rendah kerana kanak-kanak usia muda ini masih tidak menghiraukan jadual yang diberikan, mereka memikirkan lebih selamat membawa semua buku dan sekiranya guru mahu buku tertentu yang dikehendaki, sudah pasti semua ada di dalam beg," katanya ketika dihubungi BH di sini, semalam.

Seorang bapa kepada murid Sekolah Kebangsaan (SK) FELDA Gelanggi 2, di sini, Haris Siron, 52, berkata isu beg berat sudah lama dibincangkan oleh ibu bapa terutama yang bersekolah rendah, tetapi masih tidak selesai kerana  tiada pendekatan yang betul sesuai untuk mengatasi isu itu. 

"Saya maklum pihak sekolah memberi jadual kepada murid mereka, tapi kanak-kanak usia muda masih tidak mengikut makluman yang disampaikan oleh guru mereka. 

"Saya dimaklumkan sebagai contoh subjek Bahasa Melayu, selain buku teks yang dibekalkan oleh kerajaan, terdapat buku latihan dan buku tulis berdasarkan bidang tertentu dalam subjek ini sahaja, belum subjek lain, "katanya.

Sumber: BH Online