Sekat Bawah Simen, Abang Al Ikhsan Selamat KangTheCat


DISEBABKAN keberaniannya bersama dengan seorang rakan demi untuk menyelamatkan si comel yang tersekat di bawah simen lot kedai, Ariff Azharb menerima banyak pujian daripada netizen.

Semalam, Ariff yang merupakan salah seorang pekeja di kedai kasut Al Ikhsan di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor telah memuat naik kisah manisnya menyelamatkan seekor kucing yang telah diberikan nama KangTheCat.

Menurut twit yang dikongsikan oleh Ariff menerusi akaun Twitter miliknya, dia telah mendengar bunyi anak kucing mengiaw di bawah bangunan lot kedai tersebut.


Bukan dia sahaja yang mendengar rintihan si comel itu, malah ia turut didengari oleh seorang wanita yang secara kebetulan sedang lalu di situ lalu menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan.

Namun, mereka agak kecewa apabila pihak bomba tidak dapat berbuat apa-apa kerana menurut mereka, simen berkenaan harus dipecahkan dan ia mungkin akan mendatangkan kemarahan kepada pemilik kedai berkenaan.


Pihak bomba turut bimbang bahaya risiko jika runtuhan tersebut mungkin akan terkena pada anak kucing malang itu pula.

Lalu mereka sendiri telah mengambil keputusan untuk mengorek timbunan pasir di bawah simen itu bagi memudahkan kerja menyelamat dilakukan.

Dalam masa yang sama, mereka berasa sedikit gentar kerana khuatir jika terdapat binatang berbisa di bawah lubang itu, namun Ariff dan rakannya tetap gigih untuk menyelamatkan anak kucing tersebut.

Ini kerana dia mendakwa sudah masuk hari kedua mamalia comel tersebut berada di bawah lapisan simen tersebut.


Bagaimanapun, anak kucing itu telah dapat diselamatkan oleh mereka berdua walaupun mereka telah menerima beberapa cakaran ‘manja’ daripada si comel itu.

Sebab utama mereka meletakkan nama anak kucing itu sebagai KangTheCat ialah kerana ia telah dijumpai di tepi longkang! Pun boleh lah jadikan nama kan.

Oleh kerana tidak mampu untuk menjaga kucing itu, Ariff telah memberikan anak kucing tersebut kepada wanita yang telah menghubungi pihak bomba pada awal kejadian berkenaan.

Siapa sangka, secara kebetulan wanita tersebut merupakan seorang pencinta kucing dan dia kini sudah membela sebanyak 12 ekor kucing di rumahnya sendiri.

Ketika menantikan ketibaan wanita tersebut, Ariff telah memberikan KangTheCat beberapa makanan kucing kerana ia kelihatan kelaparan akibat dua hari terperangkap di bawah simen berkenaan.


Keprihatinan Ariff dan rakannya itu telah dipuji oleh netizen dan berbangga dengan sikap baik yang ada terhadap dua orang anak muda tersebut.

Semoga ramai lagi manusia yang prihatin di dunia ini seperti kalian berdua dan mungkin banyak lagi haiwan jalanan dapat diselamatkan daripada mati tanpa jagaan. - Kedahnews.com