Sekolah Di Putrajaya Tidak Asing Murid Bodoh, Pandai


PUTRAJAYA – Semua sekolah di Putrajaya tidak lagi melaksanakan sistem pengasingan kelas mengikut tahap penguasaan akademik murid pada sesi persekolahan 2018, kata Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Roaini Jaafar.

Beliau berkata konsep itu turut mendapat sambutan daripada ibu bapa kerana para pelajar tidak lagi diasingkan untuk pencapaian akademik, sebaliknya digabungkan dalam kelas yang sama dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di negara ini selaras dengan pembelajaran abad ke-21 di 14 sekolah kebangsaan dan 26 sekolah menengah.

“Ini membolehkan pelajar cemerlang yang menguasai ilmu membaca, mengira dan menulis bekerjasama dan membimbing pelajar kurang cemerlang supaya dapat membantu satu sama lain. Kita tidak lagi mengasingkan kerana kita tidak mahu mementingkan pencapaian akademik semata-mata.

Pendidikan mempunyai banyak aspek antaranya kerjasama, komunikasi, kolaborasi dan kreativiti yang perlu didedahkan kepada anak-anak dan mahu mereka menolong antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan sesi persekolahan hari pertama di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 11 (1) di sini hari ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin baru-baru ini berkata amalan pengasingan kelas mengikut tahap pe nguasaan akademik murid dan sekolah kawalan dihentikan, manakala kaedah pengasingan rasmi seperti Ujian Kemasukan Tahun Satu juga perlu dimansuhkan sepenuhnya bermula 2019.

Beliau dilaporkan berkata amalan berkenaan bukan dasar pendidikan namun dilakukan pihak sekolah bagi meningkatkan pencapaian akademik mengikut Gred Purata Sekolah (GPS).

Mengulas lanjut, Roaini berkata pelajar tingkatan empat dan lima diasingkan mengikut pemilihan aliran dan mata pelajaran serta pengasingan tersebut dibuat bukan berdasarkan akademik tetapi kecenderungan pelajar.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Putrajaya Presint 11 (1), Mohd Shahizan Abdullah berkata pihaknya menyambut baik cadangan yang dibuat di sekolah itu dan ibu bapa turut bersetuju serta memahami langkah positif dalam meningkatkan keberkesanan pembelajaran.

“Saya berharap amalan berkenaan berjaya dan berkesan yang mana murid cemerlang dapat membantu pelajar lemah,” katanya. – Bernama