KUALA LUMPUR - Hajat pasukan Liga Super, Selangor menjadikan Stadium Nasional, Bukit Jalil sebagai gelanggang rasmi musim ini tidak kesampaian selepas stadium berkenaan tidak boleh digunakan.
Stadium yang mampu memuatkan kira-kira 90,000 penonton itu dikatakan padat dengan aktiviti sepanjang tahun termasuk menjadi gelanggang Kejohanan Ragbi Asia, sekali gus The Red Giants kini perlu mencari alternatif venue lain sebelum kempen Liga Malaysia (Liga M) 2018 disingkap tirainya 3 Februari ini.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata penganjur Liga-M, Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) menegaskan adalah mustahil Selangor menggunakan stadium itu sepanjang tahun.
"Kedua-dua pihak iaitu pihak pengurusan stadium dan FMLLP sudah berusaha untuk bekerjasama bagi mengkaji perkara ini, tetapi mustahil untuk memberi jaminan bahawa stadium tersebut tersedia sepanjang tahun," kata Tunku Ismail dalam satu kenyataan di laman Facebook FAM.
"Pihak pengurusan stadium juga mengesahkan bahawa empat dari enam perlawanan pertama Selangor sebagai tuan rumah perlu dipinda untuk memenuhi jadual acara yang akan dilangsungkan di stadium tersebut.
"Jadi, mungkin lebih banyak lagi pindaan jika pasukan bola sepak kebangsaan atau acara antarabangsa membuat permintaan untuk menggunakan stadium itu."
Untuk mengelakkan perubahan jadual pertandingan yang lewat, Selangor dinasihatkan supaya bermain di Stadium Selayang biarpun perlawanan bakal berlangsung di sebelah petang.
"Jika terdapat perubahan jadual pertandingan berpunca dari isu ini, sudah tentu FMLLP akan dipersalahkan dan kita tidak bergerak seiringan ke arah penjadualan yang lebih stabil seperti yang saya arahkan kepada pengurusan FMLLP," kata Tunku Ismail.
"Selangor tidak boleh memberi alasan yang Stadium Selayang tidak boleh diguna pakai hanya disebabkan oleh lampu limpah yang tidak mematuhi spesifikasi yang ditetapkan FMLLP.
"Adalah menjadi tanggungjawab pasukan Selangor untuk menaik taraf lampu limpah tersebut bagi mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh FMLLP agar boleh beraksi di waktu malam."
Selangor bermain di Selayang tahun lalu selepas mereka tidak memperoleh kebenaran bermain di Stadium Shah Alam.
Sementara itu, Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal berkata pihaknya belum memutuskan untuk menggunakan Stadium Selayang sebagai gelanggang rasmi susulan perkembangan itu.
"Hanya tuhan yang tahu," katanya.
Sumber: BH Online