PEMILIHAN China sebagai tuan rumah Kejohanan AFC Bawah 23 tahun negara (B-23) yang bakal bermula pada 10 Januari ini adalah satu tindakan yang boleh dipertikaikan.
Dengan keadaan cuaca sejuk yang sedang melanda negara itu terutama di Changshu, iaitu antara satu lokasi pertandingan, situasi berkenaan sebenarnya memberikan kesukaran buat pasukan yang bertanding.
Persatuan Bolasepak China (CFA) sendiri tidak menjalankan saingan liga mereka dalam tempoh cuaca sejuk pada Disember hingga Mac, tetapi AFC pula memilih negara berkenaan sebagai lokasi kejohanan.
Changshu yang menjadi lokasi pertandingan bagi Kumpulan C membabitkan pasukan Malaysia, Iraq, Jordan dan Arab Saudi pula mengalami cuaca sejuk berangin dengan suhu antara 4 hingga 5 darjah selsius pada sebelah petang.
Bagi bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh, keputusan AFC memilih China sebagai lokasi pertandingan pada musim sejuk seperti sekadar 'melepaskan batok ditangga'
"Kita mahu melihat pemain muda mempamerkan potensi sebenar, tetapi bagaimana mereka terutamanya dari negara Asia Tenggara ini mahu menghadapi situasi ini. Saya fikir kalau AFC ambil serius kejohanan ini, pasti mereka mengambil kira segala aspek.
"Sudah pasti dengan cuaca seperti ini, ia hanya akan memberi kelebihan kepada pasukan seperti China, Jepun, Korea Selatan yang sudah biasa dengan cuaca seperti ini.
"Negara Arab juga ada mengalami cuaca sejuk, tetapi tidak terlalu sejuk, apatah lagi pemain daripada negara kita," katanya.
Masalah cuaca sejuk sememangnya antara halangan besar buat skuad negara kendalian Datuk Ong Kim Swee apabila mereka tidak dapat meneruskan aksi persahabatan dengan Syria di Jiangshu, kelmarin.
Mereka dijangka akan beraksi dalam cuaca sejuk sepanjang Kejohanan AFC B-23 dengan aksi pembukaan Kumpulan C menentang Iraq pada Rabu ini, diikuti Jordan (13 Januari) dan Arab Saudi (16 Januari).
Sumber: BH Online