ALOR SETAR - Sikap pelik kakitangan sebuah premis enggan bertegur sapa dengan jiran tetangga di Bandar Utama Sungai Petani, terjawab apabila operasinya dibongkar sebagai cawangan syarikat umrah yang dipercayai menjalankan penipuan pakej umrah.
Seorang penduduk, Adilah Amir, 45, berkata syarikat itu menyewa sebuah banglo untuk dijadikan pejabat kira-kira pertengahan tahun lalu.
"Pada awal kedatangan mereka, pemilik syarikat ada bertegur sapa dan mengajak kami mengikuti pakej umrah ditawarkan.
"Bagaimanapun, sekali itu saja mereka menegur, malah pekerja syarikat itu nampak macam cuba melarikan diri setiap kali terserempak dengan kami," katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.
Menurut Adilah, penduduk hairan apabila syarikat tersebut menurunkan kain rentang di hadapan banglo itu sejak November lalu.
"Rumah itu ditinggalkan begitu saja tetapi sesekali ada individu datang mengambil barang dan kali terakhir kira-kira dua minggu lalu.
"Tak sangka syarikat itu terbabit dalam kegiatan penipuan pakej umrah.
"Ada beberapa orang datang ke rumah saya dan bertanya mengenai syarikat berkenaan selepas mendapati premisnya kosong tetapi saya katakan tidak tahu," katanya memetik BH Online.
Hasil tinjauan wartawan, mendapati banglo itu ditinggalkan terbiar dan ditumbuhi semak-samun, manakala pagarnya dikunci.
Baru-baru ini, sebuah akhbar telah melaporkan 15 bakal jemaah umrah terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dipercayai ditipu sebuah agensi umrah.
Mereka yang tiba dari Perak, Kedah dan Pulau Pinang selepas dimaklumkan akan berlepas ke Tanah Suci pada jam 7 malam menaiki pesawat Emirates Airlines.
Namun, kumpulan itu hanya menyedari ditipu selepas mendapati nama mereka tiada dalam senarai penumpang penerbangan manakala mutawif dan wakil syarikat tidak menjawab panggilan telefon.
Difahamkan, pakej ditawarkan antara RM7,000 hingga RM8,000 seorang, selain pakej umrah membabitkan beberapa orang untuk keluarga. - Kedahnews.com