Skuad Muda JPJ Bantu Didik Masyarakat


KUANTAN – Skuad Muda Jabatan Pengangkutan Jalan (SMJPJ) menyasarkan untuk mencapai 1 juta keahlian menjelang 2030 bagi memberi impak lebih berkesan dalam memainkan peranan membantu mendidik orang ramai mematuhi peraturan jalan raya.

Pengerusinya Datuk Seri Ismail Ahmad berkata apabila kadar pelanggaran undang-undang jalan raya dapat dikurangkan sekaligus mampu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

“Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau polis trafik menguatkuasakan undang-undang, jadi SMJPJ akan membantu dalam aspek mendidik pengguna jalan raya untuk mengikuti peraturan ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai konvoi Jalinan Kasih bersempena pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Skuad Muda JPJ 2018 di Kompleks JPJ Pahang, di sini.

Seramai 350 orang ahli SMJPJ Zon Timur dari Kelantan, Terengganu dan Pahang menyertai konvoi itu.

Ismail berkata SMJPJ yang ditubuhkan pada 2013 kini mempunyai lebih 200,000 ahli. – BERNAMA