ST Rosyam Mart Bakal Dilancar Februari Depan


KUALA LUMPUR - Selepas tiga dekad berjaya mencipta jenama tersendiri dalam industri seni, penerbit dan pelakon terkenal, Datuk Rosyam Nor dijangka bakal melancarkan sebuah pasar raya borong yang akan beroperasi bermula pada awal bulan Februari depan.

Pasar raya dengan jenama ST Rosyam Mart itu akan memulakan operasi di cawangan pertamanya yang bertempat di Setiawangsa, Kuala Lumpur.

“Jika tiada halangan, pada awal bulan Februari ini saya akan melancarkan sebuah pasar raya dengan nama ST Rosyam Mart di Setiawangsa, Kuala Lumpur.

“Setakat ini kami sedang menjalankan persediaan di peringkat akhir sebelum operasi sepenuhnya dijalankan,” kata Rosyam yang ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Tambah pelakon filem KL Gangster 2 itu, nama pasar raya yang mempunyai keluasan sebanyak 13 lot unit kedai itu diambil sempena usaha sama beliau dengan syarikat Sri Ternak.

Kata beliau lagi, ST Rosyam Mart juga bakal menjanjikan pengalaman membeli belah yang tidak pernah diwujudkan oleh mana-mana pasar raya lain di Malaysia. 

Sumber: K! ONLINE