POLIS menahan dua bekas pekerja Pengarah Urusan D'Herbs Holding (M) Sdn Bhd, Datuk Seri Aliff Syukri yang dipercayai terbabit mencuri wang tunai dan barang kemas bernilai RM100,000 pada 18 Jun tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan S Somu berkata, suspek berusia 20 dan 40 tahun itu ditahan di rumahnya di Pandamaran, Klang, kelmarin.
Menurutnya, dua suspek itu adalah pasangan suami isteri yang mempunyai hubungan dengan dua bekas pembantu rumah yang sudah didakwa tahun lalu.
"Susulan tangkapan itu, polis menemui semula barang kemas yang dilaporkan hilang bernilai RM25,000.
"Polis juga merampas satu beg berjenama dan wang tunai RM2,000 daripada suspek," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh di sini, hari ini.
Somu berkata, kes berkenaan dianggap selesai kerana semua suspek sudah ditahan.
"Dua suspek ini akan direman sehingga 4 Februari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan," katanya.
Pada 5 Julai tahun lalu, dua bekas pembantu rumah jutawan produk kecantikan itu didakwa atas tuduhan mencuri barangan kemas milik isterinya.
Aliff kerugian RM100,000 selepas barang kemas dan wang tunai dicuri oleh bekas pembantu rumah dan pekerjanya pada 18 Jun lalu.
Sumber: MyMetro