Tanpa sebarang arahan, protes terhadap pencalonan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri oleh Pakatan Harapan Ahad lepas terus 'bergema' di seluruh negara.
Rasa tidak puas hati itu juga terbit daripada anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diasas dan diketuai oleh Dr. Mahathir sendiri selain penentangan daripada pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP serta Parti Amanah Negara (PAN) yang berada dibawah naungan Pakatan di mana Dr. Mahathir adalah pengerusinya.
Pada mulanya ramai orang ingatkan ahli dan penyokong PPBM akan berdiri teguh di belakang Dr. Mahathir apabila beliau dinobatkan sebagai Perdana Menteri Ke7 jika Pakatan Menang PRU14, rupa-rupanya ramai juga yang tidak bersetuju.
Semalam Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) negeri Pahang, Raja Mohd. Azlan Raja Omar menyifatkan Dr. Mahathir tidak lagi sesuai diangkat sebagai Perdana Menteri dalam dalam usianya mencapai 93 tahun.
Sebaliknya jawatan penting itu perlu diisi oleh seseorang tokoh muda berwibawa sekali gus meneruskan kesinambungan kepemimpinan, kata Raja Mohd Azlan.
"Pada zaman ini, saya secara peribadi berasakan tidak sesuai untuk Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri. Kita memerlukan orang muda dan perlu ada sistem konsisten," katanya dalam sidang akhbar, semalam,
Dalam pada itu, Raja Mohd. Azlan dipetik sebagai berkata, PPBM seharusnya menyelesaikan masalah kecelaruan kepemimpinan yang berlaku dalam parti itu khususnya di negeri ini terlebih dahulu jika ingin menerajui kepemimpinan negara.
"Jika isu kepemimpinan pun tidak dapat diselesaikan, bagaimana hendak memimpin negara dengan baik," katanya yang mengakui ada pelantikan baharu dibuat bagi menggantikannya berikutan tindakannya mengkritik parti tersebut
Keputusan Pakatan Harapan memilih Dr. Mahathir mengetepikan peluang golongan muda untuk memimpin negara di masa depan.
Jika asyik bertukar (perdana menteri) sahaja, bila negara kita nak maju. Saya setuju dengan pendapat Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Ketua Pemuda PPBM) bahawa sepatutnya 30 peratus tampuk kepimpinan parti diserahkan kepada orang muda," katanya padasidang media semalam..
Menurutnya apa yang disuarakan itu adalah pendapat peribadinya memandangkan ada ura-ura bahawa jawatan yang disandang itu telah digantikan dengan orang lain berikutan kelantangannya mengkritik beberapa dasar parti.
Dalam pada itu beliau tidak menafikan berlaku perpecahan di kalangan angkatan Pemuda PPBM di negeri ini dan hanya lapan bahagian sahaja yang kini benar-benar aktif dalam melakukan aktiviti.
Sementara itu Pemangku Ketua Pemuda PPBM Temerloh, Sharipul Fairuz Mohd Sharip sependapat dengan Raja Mohd Azlan bahawa gandingan Dr Mahathir-Dr Wan Azizah itu bakal dilanda masalah.
Sebelum ini beberapa pemimpin PKR dan DAP turut menentang pencalonan Dr. Mahathir sebagaj Perdana Menteri oleh Pakatan Harapan bagi menggantikan Datuk Seri Najib Razak jika gabungan pembangkang memerintah negara.
Turut menyuarakan pandangan mengenai pemilihan semula Mahathir sebagai pemimpin utama ialah tokoh akademik dan pemimpin NGO.
Mereka beranggapkan bekas Perdana Menteri itu tidak lagi sesuai memegang jawatan tertinggi itu dan mendakwa beliau hanya dipergunakan oleh parti politik tertentu bagi memecahkan orang perpaduan Melayu dan rakyat
Namun demikian Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng tetap mempertahankan keputusan Pakatan Harapan melantik Dr. Mahathir.
Kata beliau, majoriti pemimpin DAP menyokong pilihan Pakatan Harapan yang meletakkan Pengerusi PPBM itu calon Perdana Menteri.
"Sebagai parti demokratik, setiap ahli parti itu berhak untuk menyuarakan pendapat masing-masing terhadap keputusan tersebut." katanya mengulas kritikan beberapa pemimpin DAP terhadap pemilihan Dr. Mahathir itu. - Kedahnews.com