Suka Tayang Duit Dalam Live Facebook, Peniaga Dalam Talian Cedera Ditembak


RANTAU PANJANG - Seorang peniaga dalam talian parah, selepas ditembak dan dikunci sekumpulan perompak di pejabatnya di Banggol Kulim, di sini.

Mangsa, Mohd Irfan Abdullah, 26, ditemui lemah dan berlumuran darah di tingkat atas kedainya, sebelum dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Dalam kejadian jam 11.30 malam kelmarin itu, sekumpulan perompak melarikan barang kemas bernilai kira-kira RM150,000 dan wang tunai RM8,000.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah, berkata anggotanya terpaksa memecahkan pinju jeriji yang dipercayai dikunci oleh suspek.

"Berdasarkan kamera litar tertutup (CCTV), kejadian itu didalangi tiga lelaki bertopeng yang menaiki kereta berwarna putih.

"Mangsa ditembak di betis dan kami turut menemui peluru sepanjang 9 mm di tempat kejadian. Kami percaya mangsa ditembak selepas diugut oleh penjenayah terbabit," katanya ketika ditemui di sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, hari ini.


Abdullah berkata, mangsa menjalankan perniagaan dalam talian dengan menjual kosmetik, barang kemas dan pakaian, selain aktif membuat 'live' di laman sosial, Facebook.

"Gerakan memburu suspek giat dilakukan dan kita tidak menolak kemungkinan semua mereka sudah melarikan diri ke negara jiran," katanya yang kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971.

Sementara itu, abang ipar mangsa, Nordin Kadir, 51, berkata adik iparnya sempat menghubungi isterinya, Zuraida, 41, selepas ditembak sebelum mereka bergegas ke kedai berkenaan.

"Sebelum kejadian kami makan bersama-sama sebelum Mohd Irfan kembali ke kedai bersendirian.

"Mohd Irfan aktif menjual baju, barang kemas dan kosmetik secara dalam talian dan berpindah ke pejabat baru di situ, lebih setahun lalu.

"Adik ipar saya juga sering membuat 'live' video di Facebook sebagai satu cara memasarkan barang jualannya," katanya.

Sumber: BH Online