Sultan Kedah Dikunjung Duta Besar Hungary


ALOR SETAR – Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah menerima kunjungan hormat Duta Besar Hungary ke Malaysia, Attilla Kali di Istana Anak Bukit dekat sini hari ini.

Attila, yang dalam rangka lawatan rasminya ke Kedah selama dua hari bermula semalam, tiba di sini bersama Ketua Pejabat Hal Ehwal Ekonomi, Kedutaan Hungary di Kuala Lumpur, Dr Emilia Fabian.

Pertemuan berlangsung hampir 30 minit.

Semalam Attilla turut berkesempatan membuat kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah di Wisma Darul Aman sebelum menghadiri taklimat mengenai Forum Perniagaan Kedah dan Hungary di Pejabat Invest Kedah.

Dalam forum itu Attilla berkata Hungary merancang meroka pelbagai peluang perniagaan dalam beberapa bidang utama di Kedah bagi meningkatkan hubungan ekonomi dua hala dengan Malaysia.

Bidang utama terbabit ialah pertanian, pengurusan air, kenderaan bermotor dan penjagaan kesihatan. – BERNAMA