Syed Saddiq Tempelak Pemimpin Tua Dalam Pakatan Harapan


Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Abdul Rahman menempelak segelintir golongan berusia dalam pakatan pembangkang yang meminggirkan orang muda.

Siapakah golongan tua yang beliau maksudkan?

Adakah Penasihat  PPBM Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kini berusia 93 tahun, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang hampir 71 tahun, Datuk Seri Anwar Ibrahim, 70 dan Lim Kit Siang 77 tahun ?

Beliau mendesak kepemimpinan pakatan pembangkang meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus orang muda sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Beliau turut membidas pendirian segelintir pemimpin senior pakatan pembangkang yang mahu orang muda menumpukan perjuangan di jalanan dan menyerahkan urusan politik serta pentadbiran parti atau kerajaan kepada kepemimpinan tertinggi sahaja.

"Saya tegaskan dan saya benar-benar maksudkannya. Saya tak nak lagi dengar ucapan pemimpin tertinggi yang selalu kata 'biar kami sahaja jadi wakil kepada orang muda'.

"Tetapi apabila sampai waktu pilihan raya, kita tengok semua (calon) 'old' (tua). Ini salah. Minimum mesti 30 peratus orang muda untuk jadi calon agar aspirasi orang muda tidak dipinggirkan," katanya ketika berpidato pada Konvensyen Pemuda Harapan di sini, malam ini.

Syed Saddiq yang dipetik daripada Berita Minggu  turut mengingatkan pemimpin tertinggi pakatan tidak meminggirkan tokoh dan pemimpin muda PPBM, Parti Amanah Negara, PKR dan DAP sekiranya pembangkang berjaya membentuk kerajaan selepas PRU-14. -Kedahnews.com