Syor Penjara Mandatori Pemandu Cuai, Tidak Berhemah


KUALA LUMPUR: Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) menggesa kerajaan memperkenalkan hukuman penjara mandatori terhadap pemandu yang dibuktikan cuai dan tidak berhemah sehingga membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.

Ahlinya, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata undang-undang yang efektif dapat mengekang sikap pemanduan tidak berhemah, terutama dalam kalangan pemandu kenderaan berat.

Pada masa ini, katanya, Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 10 tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM20,000 bagi kesalahan berkenaan.

Lam Thye berkata, cadangan hukuman penjara mandatori lebih panjang adalah tepat pada masanya kerana nasib penumpang dan orang awam kini seolah-olah bergantung kepada 'belas ehsan' pemandu bas dan kenderaan berat.

"Sekiranya kerajaan dan agensi seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tidak mengambil tindakan tegas dan drastik terhadap 'pembunuh' yang jelas kelihatan ini, kematian akibat kemalangan mungkin tidak akan berakhir.

"Langkah radikal itu juga dapat menangani peningkatan kes kemalangan jalan raya akibat kecuaian pemandu sendiri," katanya dalam satu kenyataan, hari ini..

Beliau percaya, tindakan tegas perlu untuk menangani masalah itu dengan menimbulkan perasaan bertanggungjawab dalam kalangan pemandu, terutama pemandu kenderaan berat.

"Mereka perlu tahu bahawa mereka boleh dipenjara jika didapati bersalah memandu secara melulu dan mengakibatkan kematian penumpang atau pengguna jalan yang lain," katanya.

Katanya, agensi penguat kuasa juga harus melakukan pemeriksaan kerap untuk menahan pemandu yang tidak berhemah.

"Pemeriksaan dilakukan dapat mengesan pemandu yang mengambil dadah dan alkohol yang boleh membahayakan nyawa pengguna jalan lain.

"Sebelum ini, terdapat banyak pemeriksaan rawak dibuat di terminal bas, sekatan jalan pula sering diadakan pada waktu malam untuk mengesan pemandu yang mengambil dadah atau mabuk," katanya.

Memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan kepada orang lain, boleh didakwa mengikut Seksyen 44 (1) akta sama, yang membawa hukuman penjara tiga hingga 10 tahun dan denda RM8,000 hingga RM20,000.

Dalam kemalangan terbaru membabitkan kenderaan berat pada 3 Januari lalu, empat sekeluarga dari Singapura terbunuh apabila kereta dinaiki mereka dilanggar sebuah lori di persimpangan Lukut-Sepang di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Pada 24 Oktober 2017 pula, lapan pekerja kilang maut, manakala 44 lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua bas kilang dan sebuah van kilang di Kilometer 147 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Juru.

Pada 24 Disember 2016, sebuah bas ekspres terjunam ke dalam jurang di Lebuhraya Utara-Selatan di Muar, menyebabkan 14 orang termasuk pemandu bas berkenaan terbunuh.

Kemalangan maut terburuk adalah pada 2013 apabila 37 penumpang maut dan 16 lagi cedera dalam perjalanan turun dari Genting Highlands.

Sumber:BH Online