Syria Medan Sebenar Kim Swee Uji Pemain


KUALA LUMPUR - Andai pengendali skuad bawah 23 tahun negara (B-23) Datuk Ong Kim Swee mahu menguji kemampuan anak buahnya, Syria B-23 adalah lawan sebenar buat mereka.

Skuad muda negara itu bakal berdepan Syria di Stadium Pusat Latihan Jiangsu, Nanjing, China Jumaat ini dalam perlawanan persahabatan yang juga aksi pemanas badan terakhir sebelum mereka memulakan kempen Kumpulan C Kejohanan AFC B-23 menentang Iraq pada 10 Januari.

Jika dilihat kepada prestasi pasukan Syria tahun lalu, mereka hampir memiliki kekuatan seimbang dengan Iraq apabila seri 1-1 dan tewas 0-2 dalam aksi persahabatan Jun lalu di Karbala.

Dengan jangkaan kekuatan yang dimiliki skuad kendalian Mohand Al Faqir itu, ia bakal menjadi medan terbaik buat Kim Swee menilai sejauh mana tahap persediaan anak buahnya untuk menghadapi Kejohanan AFC B-23 selepas berkampung di Mokpo. Korea Selatan hampir dua minggu sebelum ini.

"Saya ingin lihat bagaimana kita bermain mengikut kekuatan yang kita kehendaki, dalam masa yang sama kita mahu menghalang pasukan Syria daripada bermain lebih positif daripada kita. Kita perlu memenangi bola di bahagian tengah lebih kerap dan dalam masa sama mengawal permainan pada keseluruhan masa," katanya.

Kim Swee bersama 23 pemain sudah mengadakan latihan pertama di Jiangsu hari ini dan beliau percaya semua pemain tiada masalah untuk menyesuaikan diri dengan cuaca sejuk

"Kami sudah mengadakan latihan pertama di Nanjing, nampak positif walaupun hari pertama berlatih, keadaan cuaca lebih kurang sama di Korea. Saya tak nampak sebarang masalah dari segi cuaca, yang penting kita kena bersiap sedia sebelum kita bermain dengan Syria, sebelum kita menentang Iraq.

"Semua dalam keadaan cukup baik, kecuali Nik Akhif (Syahiran) yang mengalami demam, tak turun berlatih hari ini tapi ia bukan isu besar. Semua pemain terpilih ke kejohanan kali ini boleh beraksi pada bila-bila masa.

"Tiada banyak yang boleh saya ubah, semua latihan kita bercorak taktikal, kita sudah tak banyak masa untuk memikirkan latihan berkumpulan di mana taktikal lebih penting buat masa ini. Kita harus kenal pasti cara permainan yang ingin diterapkan," jelas bekas pengendali Harimau Malaya itu.

Ketika ditanya mengenai bayangan kesebelasan utama idamannya, Kim Swee berkata: "Belum lagi, perlawanan dengan Syria menjadi keutamaan kepada saya memilih barisan kesebelasan utama.

Selain Iraq juara edisi 2013, Malaysia turut akan berdepan naib juara Arab Saudi dan pemenang tempat ketiga Jordan dalam saingan kumpulan C.

Sumber: BH Online