MEMBAHAGIAKAN dan membalas jasa kedua-dua ibu bapa merupakan satu tanggungjawab yang harus diambil oleh setiap anak.
Walaupun orang tua mereka tidak pernah meminta-meminta, tetapi seorang anak haruslah menghargai segala pengorbanan yang telah dilakukan sepanjang membesarkan kita.
Seperti apa dihajatkan oleh seorang anak ini yang menghidap sakit jantung yang kronik, dia ternyata tidak dapat menyembunyikan kegembiraan apabila impian untuk menyambut hari lahir bonda tercintanya akhirnya tercapai.
Kisah Mohd. Fikri Hakim Jaudin yang sangat menyentuh hati ini telah dikongsikan semula oleh seorang pengguna akaun Facebook yang hanya dikenali sebagai Natipah Abu.
Anak kedua daripada tiga beradik itu dikatakan sudah sekian lama memasang niat untuk membalas jasa ibunya yang banyak berkorban sepanjang menjaga dirinya.
Tambahan pula, ini mungkin kali terakhir Mohd. Fikri dapat meraikan suasana gembira bersama-sama dengan ahli keluarga tercinta.
Difahamkan, keluarganya terpaksa menyembunyikan sepucuk surat dari pihak hospital yang selama ini telah disembunyikan daripada pengetahuan Mohd. Fikri.
Isi kandungan surat berkenaan menyatakan sesuatu yang sangat menduga emosi bukan sahaja daripada ahli keluarga Mohd. Fikri, malah penulis sendiri turut merasa pilu dengan sekadar membacanya.
Antara isi kandungan surat berkenaan, ia tertulis, “…dengan ini warisnya memilih untuk beliau (Fikri) meninggal dunia di rumah.”
Namun, ternyata Mohd. Fikri sudah lama mengetahui tentang isi kandungan surat itu cuma dia tidak mahu menyuarakan perkara tersebut atas sebab tidak mahu melukakan hati keluarganya yang tercinta.
Sebagai permintaan terakhir, Fikri atau lebih mesra dengan panggilan Acan memutuskan untuk memenuhi hajat kali terakhirnya dengan meraikan hari jadi ibu tersayang walaupun tarikh sebenarnya adalah pada tanggal awal Januari.
Sambutan yang diadakan secara kecil-kecilan di bilik Fikri itu turut dihadiri semua ahli keluarga dan kenalan rapat dengan mengukir senyuman terindah istimewa buat Fikri.
Akan tetapi, hanya Tuhan sahaja mengetahui betapa mereka cuba bersungguh-sungguh untuk membendung kesedihan dan keperitan di dalam hati masing-masing.
Perkongsian Natipah itu turut menyatakan bahawa keadaan kesihatan Fikri dilihat semakin merosot dan sudah tidak mampu untuk duduk lama serta akan mudah mengah walapun hanya bercakap.
Wajah Fikri juga kelihatan membengkak manakala bibir dan kukunya pula kelihatan kebiru-biruan.
Semoga kita sama-sama mendoakan agar Fikri diberikan kesihatan yang berterusan dan dipermudahkan segala urusan keatasnya dari yang Maha Esa. - Kedahnews.com