KUALA LUMPUR - Datin Diana Danielle menafikan dakwaan suaminya, Datuk Farid Kamil Zahari, yang ditahan selepas dipercayai menampar seorang anggota polis trafik dan menendang dua orang awam, murung kerana dihalang berjumpa dua anak mereka.
Dalam temubual eksklusif dengan New Straits Times (NST), Diana memberitahu tidak pernah mengeluarkan arahan melarang Farid mendekati anak mereka.
"Disebabkan saya bekerja, saya tinggalkan dua anak saya di bawah jagaan ibu.
"Rumah ibu hanya setingkat bawah rumah saya iaitu di kondominium yang sama. Dia boleh berjumpa anak-anak dengan mudah kalau dia mahu," katanya.
Sementara itu, isu penahanan Farid tambah 'panas' apabila rakaman video Bigo Live pelakon dan pengarah itu tersebar di laman sosial, sejak malam kelmarin.
Klip video itu dipercayai rakaman siaran langsung dilakukan Farid bersama seorang pelakon lelaki beberapa jam sebelum insiden Farid bertindak kasar di balai polis, pada Khamis.
Dalam rakaman itu, Farid antara lain mengulas mengenai projek lakonan drama dan filem terbarunya.
Bagaimanapun, netizen menyifatkan aksi Farid sebagai 'pelik' hingga ada yang mendakwa dia seolah sedang khayal ketika siaran langsung itu dibuat.
Pagi tadi, Farid yang didakwa menampar seorang anggota polis trafik dan menendang dua orang awam, direman empat hari, bermula semalam.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Zaki Asyraf Zubir terhadap pelakon berusia 37 tahun itu, bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan; Seksyen 90 Akta Polis; Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian pada jam 1.20 tengah hari semalam, Farid dilaporkan ke balai polis berkenaan untuk membuat laporan berkaitan kemalangan jalan raya.
Ketika berurusan di kaunter terbabit, pelakon berkenaan secara tiba-tiba menampar muka petugas lelaki yang menerima aduan itu, disaksikan beberapa anggota lain dan orang awam.
Selain mencederakan polis yang berusia 24 tahun, dia dipercayai menendang dua orang awam di tempat sama.
Sumber: BH Online