“Tak Perlu Panggil Datin” - Reaksi Almy Nadia Selepas Suami Bergelar Datuk


PETALING JAYA - Isteri kepada Fizz Fairuz iaitu aktres Almy Nadia mengakui masih terkejut dengan pengiktirafan diterima suaminya iaitu Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk.

Almy atau Almy Nadia Aminuddin Shah, 31, berkata, dia dan suami hanya mengetahui perkara tersebut dua hari sebelum majlis istiadat berlangsung.

"Saya masih terkejut sebenarnya dan seperti tidak percaya kerana perkara ini juga kami baharu sahaja dapat tahu pada Rabu lalu.

"Saya sendiri simpan rahsia itu dan kalau boleh tidak mahu kecoh-kecoh, tidak sangka pula ada laporan berita berkenaan pengiktirafan itu," ujarnya kepada mStar Online.

Fizz pada Sabtu menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) sempena Istiadat Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang pada Sabtu.

Pelakon drama Kekasih Paksa Rela ini antara 197 penerima darjah kebesaran dan pingat tersebut.

Sementara itu, Almy berkata, dia bersyukur penat lelah suaminya selama tiga tahun mempromosikan pelancongan negeri itu akhirnya dihargai.

Katanya, dia antara individu paling rapat yang mengetahu susah payang Fizz dalam mengusahakan syarikat mereka Rain Maker Creation Sdn Bhd.

"Alhamulillah, ini rezeki Allah yang kita tidak sangka dan sebagai orang kanan dan pembantu dia saya menyaksikan sendiri usaha dan penat lelah dia membahagikan masa.

"Jika dia sibuk dengan lakonan saya dan beberapa pekerja yang akan turun padang menguruskan majlis-majlis yang syarikat kami anjurkan," ujarnya.

Dalam pada itu, ditanya tentang gelaran Datin, Almy berkata, dia lebih selesa dipanggil tanpa gelaran tersebut.

Katanya, bukan niat menolak, sebaliknya, memerlukan masa untuk memikul gelaran itu.

"Saya hormati pangkat yang diberi ini tapi buat masa ini panggil saya Almy sahaja, tak perlu panggil Datin," ujarnya.

Sumber: Mstar Online