Tambah Bilangan Bukan Melayu Sertai Askar Wataniah


ALOR SETAR - Kementerian Pertahanan mahu menarik lebih ramai penyertaan kaum bukan Melayu dalam Askar Wataniah dalam usaha memperkasakan keanggotaan Askar Wataniah di seluruh negara yang kini mencecah  50,000 orang, kata  Timbalan Menterinya Datuk Seri Mohd Johari Baharum.

"Jumlah golongan bukan Melayu adalah sedikit dan kita mahu penyertaan yang lebih ramai agar semangat patriotisme dan jati diri dapat diterapkan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Gelombang Askar Wataniah (GAW) Zon Utara di sini semalam.

GAW merupakan cetusan idea Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein bagi membangkitkan semangat patriotisme di kalangan belia, pelajar dan Briged Sukarela Khidmat Negara (BSKN) melalui penyertaan Askar Wataniah.

Pada program yang berlangsung selama dua hari di Zon Utara ini merupakan pertama kali diadakan melibatkan 4,000 Askar Wataniah dari Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Terdahulu dalam ucapannya Mohd Johari berkata konsep pelaksanaan GAW akan dilaksanakan mengikut tiga tema iaitu Lancar, Kekal dan Bertahan.

​"Bagi tema Lancar, pelancaran GAW akan diadakan mengikut zon yang telah ditetapkan secara berperingkat dan pada masa sama kemasukan anggota baharu akan terus diambil mengikut nisbah ditetapkan.

Tema kedua iaitu Kekal pula ialah bagi anggota yang telah berkhidmat dalam Askar Wataniah, pengekalan anggota untuk terus berkhidmat akan terus dipupuk dan dipantau oleh pasukan masing-masing.

Tema ketiga iaitu Bertahan, kesemua anggota akan terus bertahan dan aktif dalam menghadiri latihan bagi memastikan mereka mempunyai ilmu pengetahuan setanding anggota pasukan tetap.

Memetik Bernama, pelbagai program diadakan sepanjang karnival dua hari tersebut antaranya pameran statik dan kenderaan, demonstrasi pertunjukan  seperti payung terjun, pendaftaran baharu  anggota Askar Wataniah serta interaksi pemimpin bersama anggota Askar Wataniah. -Kedahnews.com