Tergamak Pukul Abang Ipar Dengan Kayu Sampai Mati


LELAKI maut dipukul oleh adik iparnya menggunakan kayu di ruang tamu rumah pekerja di Ladang Mananggol, Kinabatangan, 5 petang semalam.

Mayat mangsa, 60, ditemui ahli keluarganya dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan luka di kepala dan mata.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan A sahak Rahmat berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa dikatakan sedang tidur di ruang tamu rumah seorang diri selepas minum arak pada 2 pagi.

"Pada 5 pagi, adik iparnya (suspek) balik ke rumah selepas meraikan tahun baru dengan minum arak di rumah rakannya.

"Sebaik tiba di rumah, suspek menukar pakaian dan terus keluar dari bilik lalu mengambil kayu yang berada di luar rumah dan memukul mangsa yang sedang tidur berulang kali di kepala dan kaki," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sahak berkata, suspek berusia 41 tahun ditahan di kawasan ladang berkenaan, 2.35 petang semalam dan kayu dipercayai digunakan oleh suspek ketika kejadian dirampas.

"Punca kejadian dipercayai suspek berang apabila sering ditegur mangsa kerana minum arak. Seminggu lalu kedua-dua mereka hampir bergaduh sebelum dileraikan oleh jirannya.

"Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Duchess Of Kent, Sandakan untuk bedah siasat.

"Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Sumber: Metro