BALIK PULAU- Penduduk sebuah kampung di sini gempar selepas penemuan sebuah objek yang disyaki bom lama ketika sedang membersihkan kawasan tersebut petang semalam.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, beberapa penduduk di Kampung Terang di sini terjumpa bom lama tersebut kira-kira jam 6.45 petang.
Menurutnya, selepas polis menerima maklumat tersebut, pasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) Pulau Pinang dikejarkan ke lokasi tersebut kira-kira 10 malam.
"Setelah tiba di lokasi, pasukan UPB Pulau Pinang telah membuat pemeriksaan dan pembersihan keselamatan di kawasan luaran di lokasi tersebut. Hasil pemeriksaan lanjut, bom lama itu merupakan bom mortar 81 mm Inert Practice.
"Siasatan awal menunjukkan bom itu adalah bom mortar lama yang tidak lagi aktif atau membahayakan. Bom tersebut dibawa pasuka UPB Pulau Pinang ke pengkalan untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi tadi.
Tambahnya, kawasan tersebut diisytihar selamat kira-kira jam 10.30 malam semalam.
Sumber: Sinar Harian