SEBAGAI seorang pelakon, mereka pasti mahu watak yang dibawa akan sampai kepada penonton sehingga membuatkan penonton tidak lupa dengan sesebuah karya lakonan mereka.
Begitu juga dengan pelakon bertubuh sasa, Remy Ishak, 35, yang dikatakan sering terserempak dengan akak ponti atau lebih dikenali sebagai pontianak!
Remy atau nama sebenarnua Mohammad Zalimei Ishak kini sedang sibuk menjalani penggambaran bagi filem The Legend Of PONTIANAK bersama dengan Nur Fazura, Namron, Tony Eusof, Hisyam Hamid dan Shenty Fezliana.
Disebabkan terlampau menghayati watak, Remy baru-baru ini ada memuat naik kicauan menerusi akaun laman Twitter miliknya tentang makhluk ghaib itu.
Berdasarkan twit itu, berkemungkinan Remy sering ternampak pontianak kerana jalan cerita filem seram itu pula kebetulan menceritakan tentang makhluk ghaib berkenaan.
“Script ni buat aku jahanam! Semua tempat aku nampak kelibat dia sekarang. Allah hu Allah!” tulisnya di twit tersebut.
Ramai netizen turut memberikan sokongan kepada Remy supaya berhati-hati dan sentiasa beringat untuk membaca ayat Kursi bagi melindungi dirinya daripada gangguan makhluk halus.
Biasalah, kalau buat cerita hantu, secara langsung auranya pasti akan sentiasa mengikuti.
Selalu kita dengar tentang krew produksi ataupun pelakon sendiri yang menghadapi keadaan yang mana makhluk halus ‘melekat’ pada mereka walaupun sudah habis penggambaran.
Mudah-mudahan itu semua hanya kebetulan sahaja kerana benda macam ni seelokkan dielakkan daripada berlaku. - Kedahnews.com