ALOR SETAR - Walaupun Pulau Langkawi terkenal di seantero dunia sebagai pulau pelancongan yang menggamit jutaan pengunjung, namun di sebalik manis senyuman penduduknya tersimpan pelbagai kenangan duka yang tidak mungkin dilupakan.
Di atas nama "pembangunan", mereka meluahkan rasa serik dan tidak mahu lagi terus diperbodohkan ahli politik yang sebelum ini "menyusukan kera di hutan, sedangkan anak sendiri mati kelaparan".
Bermula Era "Penjajahan" Politik Dan Syarikat Kroni
Anak jati Langkawi, Mohd Nizar Khamis, 48, berkata, sebaik saja Langkawi diisytiharkan sebagai Pulau Bebas cukai oleh mantan Perdana Menteri keempat, maka bermulalah "episod gelap" era penjajahannya bersama syarikat kroni.
"Sememangnya kami menyambut baik pengisytiharan itu, kerana secara tidak langsung dapat meningkat taraf ekonomi penduduk tetapi kami dikorban secara paksa dengan pengambilan tanah yang diarah oleh Mahathir kepada Lembaga Pembangunan Langkawi.
"Saya difahamkan bahawa semua pembangunan itu diuruskan oleh sebuah syarikat ada yang terbengkalai malah ada yang beroperasi hanya seketika dan ini menyebabkan mata pencarian penduduk terjejas.
"Kami penduduk Langkawi tidak mahu perkara ini berulang, kami tidak mahu pembangunan yang dibawa oleh Kerajaan BN sekarang ini terputus, kami tahu jika beliau menjadi Ahli Parlimen, Langkawi akan menjadi miliknya dan penduduk akan terabai," luahnya.
Sesetengah Orang Muda Tak Tahu Akibat "Buta" Pengaruh
Menurut Nizar, ramai generasi di pulau Lagenda itu tidak mengetahui perkara sebenar yang berlaku, berkemungkinan "dibutakan" oleh pengaruh Mahathir yang licik menyebarkan propaganda menerusi media di zaman beliau berkuasa.
"Ramai diantara rakan sebaya saya ketika ini menjadi pemandu teksi, peniaga kecil-kecilan bagi menampung keluar dan terpaksa menyewa kerana tanah milik keluarga telah diambil alih.
"Ini bukan bermakna Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak bagus. Sebaliknya pemimpin ketika itu yang memimpin secara tidak baik dan menyebabkan rakyat menjadi mangsa," katanya yang dipetik daripada laporan sebuah portal berita.
Kroni Bermaharajalela
Sementara itu, menurut Hazani Hussein, 50, dari Kampung Padang Putih, kuasa yang dimiliki Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun yang lalu menyebabkan syarikat kroninya "bermaharajalela" di pulau tersebut.
Keadaan itu tidak terhenti selepas beliau meletak jawatan, malah disambung pula di era anaknya, Dato' Seri Mukhriz Mahathir berkuasa sebagai Menteri Besar Kedah, sekaligus membuat anak tempatan terus "mengemis" di tanah kelahiran sendiri.
"Boleh dikatakan kawasan pantai dan tambak laut dilakukan oleh syarikat kroni. Perkara ini berlaku tanpa pengetahuan daripada Kerajaan Persekutuan, yang menjadi mangsa adalah penduduk setempat.
"Kawasan pantai yang dibangunkan sebagai tempat perniagaan diambil oleh syarikat berkenaan, malah keluasan yang diluluskan oleh Menteri Besar ketika itu amat luas.
"Kedudukan penduduk terjejas, ekonomi mereka terjejas tanpa dipedulikan oleh kerajaan yang dipimpin Mukhriz ketika itu, walaupun aduan dibuat tetapi kami di pulau ini tidak dipandang. Bagi mereka kroni lebih penting," ujarnya.
Kuasa "Dalang" Melangkaui Kuasa PBT
Lebih mengejutkan, Hazani mendakwa pihak berkuasa tempatan sendiri tidak mampu menghalang kuasa Mukhriz selaku Menteri Besar ketika itu, malah mendakwa Mahathir mungkin layak dianggap sebagai "dalang" paling berkuasa di pulau berkenaan.
"Saya tidak takut sekiranya beliau bertanding di Parlimen Langkawi. Saya akan buktikan apa yang berlaku di pulau ini. Kami dianak tirikan sebaliknya pemaju luar diangkat.
"Jika benar pulau ini hak milik penduduk kenapa perlu membuat menara pada mulanya dinamakan sebagai Menara Maha dan ditukarkan kepada Maha Tower. Bukan ke maha itu bermaksud Mahathir," katanya meluahkan yang terbuku di hati.
Tambah Hazani, boleh dikatakan semua arahan mengenai pembangunan dan pembinaan di Langkawi tidak dapat dilakukan mana-mana pihak, sebaliknya perlu mendapat kebenaran daripada Mahathir.
Tak Mahu Episod Gelap Berulang
Hakikat "kisah gelap" penduduk asal Langkawi itu kemas tersimpan sebelum ini, namun setelah timbul desas-desus yang mengatakan Mahathir mungkin memilih untuk bertanding di parlimen itu, rata-rata penduduknya melahirkan rasa "tidak senang duduk".
Difahamkan, mereka tidak mahu episod "pembangunan" lama yang dimonopoli "taikun-taikun" tertentu dari syarikat kroni terus mengaut kekayaan pulau lagenda itu, sedangkan masyarakatnya hanya mampu menikmati "sisa-sisa" kerakusan nafsu politik sahaja.
Apatah lagi kini Mahathir membuat "pusingan U 360 darjah" bersekutu dengan DAP, dikhuatiri ahli politik veteran itu akan menyusun atur barisan syarikat kroni baru untuk terus "meratah" kek ekonomi di pulau tersebut. - Kedahnews.com