DUA keluarga berlainan agama di India, Hindu dan Islam, yang anak mereka tertukar selepas dilahirkan di hospital tiga tahun lalu, memutuskan untuk tidak menukar kembali anak mereka walaupun ujian DNA membuktikan siapa ibu bapa sebenar kanak-kanak terbabit.
Selepas membawa perkara itu ke mahkamah awal bulan ini untuk membuat pertukaran, kanak-kanak berkenaan enggan berpisah dengan keluarga yang membesarkan mereka.
Menurut The Independent, pertukaran anak itu disahkan selepas Shahabuddin Ahmed menerima keputusan ujian DNA menunjukkan tiada pertalian genetik antara isterinya, Salma Parbin dengan anak lelakinya, Jonait.
Mereka membuat ujian itu selepas Salma berasa ragu mengenai anaknya itu apabila pertama kali melihatnya sebaik dilahirkan tiga tahun lalu di Hospital Awal Mangaldai.
“Apabila melihat wajahnya, keraguan mula timbul. Saya teringat wajah seorang wanita yang serupa dengannya. Saya perasan matanya sepet sedangkan dalam keluarga kami tiada mata seperti itu,” katanya.
Apabila Shahabuddin memaklumkan perkara itu kepada pihak hospital, kakitangan menafikannya malah mencadangkan isterinya mendapatkan rawatan psikiatrik.
Dia kemudian memohon petisyen meminta hospital memberikan butiran bayi yang lahir kira-kira jam 7 pagi pada hari Jonait dilahirkan.
Selepas menerima butiran tujuh wanita, seorang daripadanya sepadan dengan waktu isterinya bersalin, malah kedua-dua bayi mempunyai berat yang sama.
Selepas menulis surat kepada pasangan berkenaan, Anil dan Shewali Boro, Shahabuddin sekeluarga bertemu pasangan itu dan anak mereka, Riyan Chandra.
Shewali memberitahu, pertama kali melihat Jonait, dia berasa sedih dan sebak kerana menyerupai suaminya.
“Kami dari puak Bodo, kami tidak seperti orang lain. Mata kami sepet, pipi dan tangan kami berisi. Kami mempunyai ciri seperti orang Mongolia,” katanya.
Salma pula berkata dia tahu Riyan adalah anak kandungnya sejurus selepas melihatnya dan mahu segera bertukar namun ibu Anil menentang.
Selepas ujian DNA membuktikan kesilapan hospital, kedua-dua pasangan itu hadir ke mahkamah namun mereka kemudian berasa berat hati untuk bertukar anak.
“Majistret memberitahu jika kami mahu mengambil kembali anak, kami boleh berbuat demikian.
“Namun kami sepakat enggan kerana sudah membesarkan mereka selama tiga tahun,” kata Salma.
Jonait dan Riyan juga menangis dan enggan melepaskan keluarga masing-masing.
Kedua-dua pasangan itu memutuskan apabila dewasa, anak mereka boleh membuat keputusan untuk tinggal dengan siapa.
Keluarga itu merancang untuk terus berhubung dan menjadi rakan baik bagi memastikan mereka boleh menjadi sebahagian dalam kehidupan anak kandung mereka.
Sumber: Metro