BUNYI alat muzik tradisional India, ‘urumi melam’, akan terus memukau hadirin pada sambutan Thaipusam akan datang, yang merupakan hari bagi penganut agama Hindu melakukan penebusan dosa terhadap Dewa Murugan.
Sejak sekian lama, ‘urumi’, ‘thavil’, ‘jaalra’ dan ‘thappu’, tidak pernah gagal untuk mengiringi para penganut agama itu ketika mereka menunaikan nazar kepada Dewa Murugan.
Urumi adalah sejenis gendang dua permukaan berbentuk jam pasir, thavil pula gendang berbentuk tong, manakala jaalra adalah sepasang simbal dan thappu sejenis gendang berbentuk bulat.
A. Kalimuthu, 45, seorang daripada pengasas Sri Nagathamman Urumi Melam, berkata persembahan kumpulan itu sentiasa mendapat sambutan hangat semasa Thaipusam, termasuk pada tahun ini.
Kata beliau, kumpulannya adalah yang pertama menubuhkan kumpulan urumi melam di Pulau Pinang iaitu pada 1990 dan persembahan mereka yang berasal dari Tamil Nadu, sebuah negeri di selatan India, pertama kali diadakan di Pulau Pinang pada 1991.
“Thaipusam tidak akan lengkap tanpa paluan gendang bagi mengiringi pembawa ‘kavadi’ ketika mereka menari dalam keadaan penuh keasyikan sambil menunju ke arah patung Dewa Murugan bagi menunaikan nazar masing-masing,” katanya kepada Bernama.
Kalimuthu berkata semua alat muzik itu diimport dari India dan beliau belajar memainkannya dengan memerhati CARA orang lain mengadakan persembahan.
“Pada masa dahulu, Pulau Pinang tidak mempunyai kumpulan urumi melam dan oleh itu kami perlu membawa kumpulan dari Sitiawan, Perak, untuk mengadakan persembahan bersempena sesuatu upacara khas dan semasa Thaipusam,” kata pemuzik itu.
Kalimuthu berkata anak lelakinya, Munishwaran, 17, adalah antara pemuzik dalam kumpulannya yang mempunyai kira-kira 30 anggota.
Seorang daripada pemimpin kumpulan itu, P. Jonathan, 26, berkata minatnya untuk memainkan alat muzik tradisional India bermula ketika belajar di sekolah rendah kerana tertarik dengan keunikan muzik itu.
“Saya bermain urumi kerana ia adalah muzik dalam budaya saya dan saya mempelajarinya daripada senior saya dalam kumpulan ini. Seseorang itu memerlukan setahun untuk benar-benar menguasai kemahiran ini dan hari ini, saya tahu bermain semua alat muzik berkenaan serta menyanyi seperti yang dikehendaki,” katanya.
Menurut pemuzik itu, kumpulannya tidak lagi mampu menerima tempahan untuk sambutan Thaipusam akan datang kerana tidak mempunyai cukup anggota untuk memenuhi permintaan.
Penganut Hindu menyambut Thaipusam pada hari bulan penuh dalam bulan Tamil dikenali sebagai ‘Thai’. Tahun ini, tarikh itu ialah 31 Januari.
Thaipusam disambut bagi memperingati hari Dewa Murugan menerima ‘vel’ (tombak) daripada ibunya, Dewi Parvathi, untuk menghapuskan makhluk jahat, Soorapadman, bagi mengembalikan kemakmuran dan kesejahteraan manusia. – BERNAMA