Tiada Air, Rakyat Kecewa Rumah Dibeli Tidak Boleh Dihuni


GUA MUSANG - Hampir 70 pemilik rumah kos rendah di Bandar Utama, Gua Musang, Kelantan kecewa apabila rumah yang dibeli gagal didiami.

Semuanya gara-gara ketiadaan bekalan air.

Penduduk mendakwa kunci rumah mereka diserahkan sejak September tahun lalu, namun masalah bekalan air menyebabkan mereka berputih mata.

Tinjauan Astro AWANI mendapati, kebanyakan penduduk terpaksa mengambil inisiatif sendiri, untuk menangani masalah tersebut.

Ada dalam kalangan mereka mengambil bekalan air dari luar dan ada juga yang terpaksa menadah air hujan untuk kegunaan mereka.

Penduduk juga mendakwa sudah mengemukakan masalah berkenaan kepada pihak pemaju dan Syarikat  Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB), namun sehingga kini tiada sebarang penyelesaian diberikan.

"Air Kelantan tidak dapat menyambung meter air kerana disebabkan perkara tidak masuk akal bagi saya, kerana dia memberi sebab penyambungan belum dibuat kerana masalah kecerunan air,

"Bagi saya masalah kecerunan air dalam taman ni tidak berlakulah kerana saya telah membuat bayaran kepada pihak pemaju. Deposit air telah dibuat tetapi tiada sebab air," kata Mohd Zamri Kamarudeen yang merupakan salah seorang pemilik rumah.

Sementara itu seorang lagi pemilik rumah, Izma Ibrahim menyifatkan ketiadaan bekalan air menyukarkan penduduk menjalani kehidupan seharian.

"Susah nak tinggal di rumah ini, kami terpaksa memunggah air dari kediaman lama.

"Nak solat, payah, nak mandi, payah, nak masak pun payah," katanya ketika ditemui Astro Awani.

Pembinaan sejumlah 138 unit rumah kos rendah ini dilaksanakan kerajaan negeri Kelantan bersama pihak pemaju Bandar Utama Gua Musang.

Sumber: Astro Awani