POLIS Kelantan memantau rapi kemungkinan wujud dadah zombie atau Flakka di negeri itu seperti didakwa menerusi laman sosial, beberapa minggu lalu.
Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata, penguatkuasaan lebih serius dijalankan bagi mengekang penyalahgunaan dadah itu yang dipercayai memberi kesan lebih bahaya kepada manusia.
“Setakat ini, kita percaya tiada dadah ini di Kelantan dan tangkapan dilakukan juga tidak berkait dadah itu.
“Cuma kita ada mendengar desas-desus dadah jenis berkenaan, tiga minggu lalu yang ditularkan di laman sosial. Pemantauan dibuat segera bagi mengelak bahaya kepada rakyat.
“Kita berharap mendapat kerjasama masyarakat di kawasan masing-masing untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan dadah itu, sekiranya ada," katanya.
Beliau ditemui pada Majlis Makan Malam dan Watikah Perlantikan Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Daerah Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kelantan serta Skuad Muda Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan di Kota Bharu, malam tadi.
Seramai 600 ketua dan ahli MCPF Kelantan dan Skuad Muda JPJ hadir pada majlis itu.
Hadir sama Pengerusi Skuad Muda Malaysia Datuk Seri Ismail Ahmad; Pengarah JPJ Kelantan Mahasan Mustapa dan Pengerusi MCPF Daerah Kota Bharu Datuk Seri Jae Affandi Hussin.
Media sebelum ini dipetik melaporkan Flakka sebagai dadah baru yang pada awalnya dihasilkan sebagai ubat sintetik pada 2012, namun dilarang penggunaannya selepas doktor menemui kesan berbahaya.
Ia dikatakan boleh menyebabkan pengguna berada dalam fasa illusi akut yang akhirnya dikategorikan sebagai dadah paling berbahaya.
Dikatakan Flakka mempunyai kesan sampingan hampir mirip kokain dan amfetamin, tetapi lebih agresif serta membawa maut.
Dalam pada itu, Hasanuddin mengingatkan rakyat supaya tidak membocorkan rahsia kerajaan yang boleh menggugat keselamatan negara amnya dan Kelantan khususnya.
Menurutnya, tindakan sedemikian tidak sepatutnya berlaku kerana mungkin ada pihak tertentu bertindak lebih jauh termasuk memanipulasikannya.
"Sekiranya maklumat yang diberi secara remeh temeh, pihak tertentu boleh mengumpulkannya dan pada masa sama boleh mencetuskan gangguan terhadap keselamatan.
"Kita juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang berbuat demikian dan setakat ini tiada kes itu berlaku," katanya yang tidak menolak gangguan tercetus daripada penyalahgunaan media sosial.
Sumber: Metro