KUALA LUMPUR - “Tiada haiwan liar didera atau diseksa hingga mati di Zoo Kemaman, Terengganu. Saya tidak pasti apa motif pihak tertentu cuba memainkan isu tidak tepat ini,” ujar Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.
Menurutnya, maklumat tidak berasas itu menjadi tular di media sosial mendakwa orang utan, gajah, tapir, ungka, harimau dan pelbagai haiwan lain ditempatkan di zoo itu diseksa petugas zoo berkenaan.
“Tidak pasti jika tindakan ini bermotifkan politik atau sebaliknya namun Perhilitan memberikan penjelasan hasil siasatan dilakukan sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya memandang serius artikel bertajuk NGOs: End the Abuse of Animals at Kemaman Zoo yang disiarkan dalam sebuah blog Clean Malaysia (www.cleanmalaysia.com) bertarikh 10 Januari lalu.
Menurutnya, artikel itu menyentuh aspek penjagaan hidupan liar di Zoo Kemaman, Terengganu dan kematian hidupan liar di zoo berkenaan.
“Susulan penyiaran artikel itu, Perhilitan Terengganu membuat siasatan lapangan di Zoo Kemaman pada 11 Januari lalu.
“Hasil pemeriksaan dan siasatan mendapati anak Orang Utan ditempatkan sementara di kurungan lain dan dipisahkan daripada ibunya. Ini berikutan, ibu Orang Utan itu menjalani proses rawatan sejak November lalu.
“Siasatan mendapati anak Orang Utan ditempatkan dalam sangkar kurungan yang besar dan disediakan peralatan senaman seperti tayar dan tali. Sehingga kini, rawatan susulan masih dijalankan terhadap anak Orang Utan itu,” katanya.
Sementara itu berhubung dakwaan anak gajah dirantai, hasil siasatan Perhilitan mendapati gajah itu adalah gajah dewasa dan dalam keadaan sihat dan normal.
“Ia ditempatkan sementara di kurungan lama sehingga kerja penambahbaikan di kurungan baru selesai.
“Gajah itu dirantai bagi memastikan ia tidak merayau keluar dari kawasan kurungan atau membahayakan pelawat dan kakitangan zoo,” katanya.
Kadir berkata, gambar harimau yang dipaparkan dalam artikel itu adalah harimau yang ditempatkan dalam kawasan kurungan malam (night stall) dan saiz kurungan itu mematuhi peraturan yang berkuat kuasa.
“Isu lain yang dibangkitkan adalah kes kematian hidupan liar di Zoo Kemaman membabitkan tapir, beruang dan ungka. Pada tahun 2016, seekor tapir mati dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah akibat pulmonary edema dan pulmonary congestion.
“Tiada kematian membabitkan beruang dan ungka direkodkan. Beruang matahari ditempatkan di kurungan baru sejak Oktober 2017 manakala ungka ditempatkan di Pulau Ungka dan masih hidup,” katanya.
Beliau berkata, Jabatan Perhilitan serius dalam isu berkaitan kebajikan hidupan liar dan tidak berkompromi dengan zoo yang tidak mematuhi perundangan berkaitan.
“Jabatan Perhilitan sentiasa komited dalam memastikan semua zoo mengutamakan kebajikan hidupan liar. Maklumat berkaitan isu kezaliman atau kebajikan hidupan liar boleh disalurkan kepada Jabatan PERHILITAN melalui Hotline -800-88-5151 (Isnin-Ahad, 8.00 pagi – 6.00 petang) atau e-aduan melalui laman web Jabatan www.wildlife.gov.my,” katanya.
Sumber: MyMetro