Tiada Sokongan, PPBM Didesak Buka Keahlian Kepada Bukan Melayu


TIADA sokongan orang Melayu terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyebabkan parti pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad itu mungkin akan membuka buka pintu kepada bangsa lain terutama  kaum Cina dan India.

Jika itu berlaku, PPBM akan menjadi seperti juga  Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mempunyai ahli dan pemimpin daripada dua kaum utama berkenaan.

Soalnya mampukah parti serpihan UMNO itu bertahan selepas pilihan raya umum akan datang?

Apakah masa depan PPBM yang ditubuhkan kerana kegagalan Dr. Mahathir untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan sama seperti nasib Parti Semangat Melayu 46 yang akhirnya dibubarkan selepas hilang sokongan dan gagal memenangi kerusi.

PPBM juga kini menghadapi krisis keyakinan di kalangan ahlinya terhadap pucuk pimpinan apabila semakin ramai yang meninggalkan parti yang baharu diwujudkan itu lebih setahun lalu.

Dr. Mahathir selaku Pengerusi PPBM pula menyifatkan mereka yang tinggalkan itu sebagai pengkhianat dan 'sampah'.

Bagaimanapun Ketua Pemuda PPBM Syed Saddiq Abdul Rahman akan mendesak kepemimpinan PPBM tidak lagi mengehadkan keahlian kepada Bumiputera jika pakatan pembangkang memerintah negara selama dua penggal.

Beliau seperti dilaporkan portal Themalaymailonline.com kelmarin berkata PPBM memerlukan masa untuk melakukan perubahan yang sesuai supaya batasan kaum menjadi kurang diperlukan.

"Apa yang saya katakan (mengenai bukan Melayu dalam PPBM) adalah apa yang saya percaya dan saya akan berjuang untuknya," katanya kepada portal berkenaan.

Beliau juga akan meminta parti lain supaya menjadi parti pelbagai kaum.

PPBM dianggotai kebanyakan bekas penyokong dan pemimpin UMNO, tetapi mempunyai ahli bersekutu yang terhad dari bangsa lain.

Sementara itu Ketua Penerangan PPBM, Datuk Kamaruddin Mohd Nor  juga tidak menolak kemungkinan parti itu dibuka kepada semua kaum.

Beliau memberitahu Berita Harian, kepemimpinan PPBM hari ini tidak berhak menentukan hala tuju dan masa depan parti itu termasuk dalam isu membuka keahlian kepada bukan Bumiputera.

"Masa depan generasi akan datang ditentukan generasi itu. Kita (kepemimpinan hari ini) tidak ada hak menentukan (hala tuju) pada masa itu, kita hanya tentukan keperluan pada masa sekarang," katanya.

Katanya, isu membuka keahlian parti itu yang ditubuh bagi mempertahankan kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak kepada bukan Bumiputera tidak pernah dibangkitkan dalam agenda perjuangan PPBM.

Sehubungan itu, katanya, buat masa ini PPBM akan kekal sebagai parti alternatif kepada UMNO sebagaimana tujuan asal penubuhannya yang berteraskan masyarakat pribumi.

"Jika bukan Bumiputera diterima jadi ahli biasa, parti perlu tukar nama dengan gugurkan perkataan pribumi," katanya. -Kedahnews.com